GEORGE TOWN -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menyekat sebarang pengeluaran lesen berkaitan penjualan minuman beralkohol lebih-lebih lagi alkohol murah atau samsu bagi mengelakkan kematian disebabkan keracunan arak. Presidennya S.M Mohamed Idris berkata pihaknya memandang serius laporan kematian disebabkan keracunan arak di negara ini. “Apa yang merisaukan ialah arak itu dikatakan dijual di pasaran sejak sekian lama dengan harga yang murah iaitu sekitar RM3 hingga RM5 untuk 150ml sebotol dan ia mudah didapati oleh mana-mana pihak tanpa sebarang sekatan. “Kami di CAP telah mengutarakan isu ini sejak 1993 lagi, namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib,” katanya pada sidang media. Sehingga semalam 23 kematian akibat keracunan arak dilapor berlaku dengan 21 mangsa di Lembah Klang dan dua Perak. S.M Mohamed berkata ketagihan alkohol mahupun samsu bukan sahaja boleh membahayakan nyawa malah boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan...