LANGKAWI -- Seramai 52 orang penumpang terselamat, selepas sebuah feri dinaiki mereka terbakar dalam satu kejadian petang ini. Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Kepten Zulinda Ramly berkata ketika kejadian, feri tersebut membawa penumpang dari Terminal Feri Kuah menuju Kuala Perlis. "Feri tersebut berlepas pada 2.30 petang dan kira-kira 15 minit selepas perjalanan, berlaku kebakaran di bahagian enjin feri tersebut. Krew feri yang menyedari kejadian itu mengarahkan penumpang berkumpul di bahagian hadapan feri. "Semua 52 penumpang kemudian dipindahkan ke bot-bot nelayan serta feri berhampiran lokasi yang datang selepas kapten feri berkenaan meminta bantuan," katanya ketika ditemui Bernama di Terminal Feri Kuah di sini hari ini. Zulinda berkata semua penumpang terselamat kecuali masing-masing seorang wanita dan lelaki cedera dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan l...