ALOR SETAR -- Seorang kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan seorang kontraktor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 39 pertuduhan membuat tuntutan palsu serta salah guna kuasa antara 2013 hingga 2015. Tertuduh Prof Madya Dr Hartini Ahmad, 49, dan Nazrul Idham Abu Nasir, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Juraidah Abbas selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan kepada mereka. Mengikut kesemua pertuduhan berkenaan, kedua-dua tertuduh yang saling mengenali itu didakwa terlibat dalam penyelewengan Dana Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) UUM antara 2013 hingga 2015 yang ketika itu Hartini bertugas sebagai Pengarah di Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) di universiti berkenaan. Hartini menghadapi 33 pertuduhan membuat tuntutan palsu serta salah guna kuasa membabitkan jumlah RM1.48 juta, manakala Nazrul Idham berhadapan enam pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM492,000. ...