JOHOR BAHRU -- Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk tidak akan melompat parti dan masih tetap setia terhadap UMNO. Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang berterusan mahu memfitnahnya mahu melompat parti dan menyerahkan perkara itu kepada orang ramai untuk membuat penilaian sendiri. Beliau berkata soalan berhubung khabar angin kononnya beliau akan melompat parti sudah diajukan kepadanya berulang kali. Namun hari ini, beliau kelihatan masih lagi memakai baju UMNO dan menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor. "Saya sudah ditanya mengenainya (lompat parti) banyak kali dan sekarang apa yang kita nampak adalah orang yang tidak ditanya soalan itu yang sudah lompat, orang yang ditanya soalan itu tiap-tiap hari pula masih lagi setia memakai baju UMNO. "Ia adalah cakap-cakap daripada pihak tertentu yang mungkin ad...