KOTA BHARU -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) gembira apabila pendapatan 29 peserta Ladang Kontrak Projek Agrotourism di Kampung Banggol di sini kini hampir mencecah RM2 juta setahun.
Pengerusinya, Ishak Ismail berkata beliau yakin hasil penanaman tembikai wangi yang mereka usahakan di sebidang tanah berkeluasan lebih 40 hektar di kampung itu akan mencecah lebih RM2 juta pada tahun ini berdasarkan kepada mutu buah yang semakin baik dan mendapat permintaan tinggi.
"Pendapatan mereka kini meningkat pada setiap tahun dan sebagai perbandingan pada 2011 mereka mendapat sekitar RM235,000 dan pada tahun lepas pendapatan mereka sudah mencecah hampir RM2 juta.
"Ini hasrat kita untuk melihat petani ini berjaya dan akhirnya keluar daripada garis kemiskinan dan sebab itu FAMA akan membantu mereka berjaya dalam pertanian," katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli tembikai wangi antara FAMA dengan peserta ladang kontrak Projek Agrotourism di kampung itu di sini.
Turut hadir beberapa anggota Lembaga Pengarah FAMA iaitu Mohd Sany Hamzan, Misdan Adam dan Mohamad Fidzuan Zaidi serta Pengarah FAMA Kelantan Mohd Ariffin Awang.
Pada majlis itu, FAMA diwakili Pengurus Operasi Kota Bharu, Mohd Lutfei Mhd Adnan manakala peserta oleh Mohd Noor Hassan.
Ishak juga menggalakkan para peserta itu memperoleh Persijilan Amalan Pertanian Baik (MyGAP) untuk hasil buah mereka itu dapat menembusi pasaran yang lebih luas, harga jualan lebih tinggi dan pendapatan lebih tinggi.
Mengenai perjanjian itu, Ishak berkata FAMA akan memberi jaminan akan membeli kesemua buah tembikai wangi itu pada harga yang tinggi setelah mengambil kira kos input pertanian dan keuntungan peserta.
Namun begitu FAMA memberi jaminan sekiranya kualiti buah ketika tuaian adalah baik, pihaknya akan membeli mengikut harga pasaran berkenaan dan jika buah yang dituai hasil kualitinya kurang, FAMA akan tetap membeli mengikut hasil perjanjian.
"Sudah lebih 17 tahun FAMA berurusan dengan peserta ini dan ini caranya kita membantu mereka agar terus menikmati pulangan terbaik hasil penanaman mereka ini," katanya.
Beliau berkata produk buah tembikai wangi peserta di situ akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan untuk merebut juara kategori bagi produk jenama negeri-negeri yang terbaik.
Sementara itu, Mohd Noor berkata para peserta sangat gembira dengan komitmen FAMA yang sentiasa membantu mereka dengan membeli buah-buahan berkenaan.
Buah tembikai wangi yang dihasilkan mereka kini mendapat pasaran terbaik dalam negara dan mengharapkan FAMA akan terus membantu petani di situ.
"Di sini kami setiap peserta mendapat 0.8 hektar dan Alhamdulillah kami menuai kira-kira 10 metrik tan buah bagi setiap musim dan pendapatan kami sekitar RM20,000," katanya.
Comments
Post a Comment