PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur.
Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.
Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman 10 daripada mereka termasuk tujuh penjawat awam terbabit sehingga Jumaat ini.
Empat pemilik urut berkenaan pula direman lima hari sehingga Sabtu.
Menurut sumber SPRM, kesemua mereka ditahan antara 10 dan 5 petang semalam hasil risikan suruhanjaya itu sejak tiga bulan lepas.
Menurut sumber itu, terdapat suspek disyaki menerima wang sogokan secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 setiap bulan.
Wang berkenaan adalah sebagai perlindungan agar premis urut tidak diganggu dan dipercayai terdapat perantara yang akan mengambil wang itu daripada pemilik premis pada setiap bulan.
Kesemua mereka yang berumur antara 29 dan 54 tahun disiasat menurut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Comments
Post a Comment