KUALA LUMPUR -- Australia hari ini berkata ia masih belum menerima sebarang permohonan dari Malaysia untuk mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar yang memohon perlindungan di negara itu.
Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata Sirul Azhar, yang dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2009 di Malaysia, kini ditahan di pusat tahanan imigresen di Australia.
“Biar saya jelaskan, dia berada dalam tahanan imigresen. Dia sedang ditahan dan tiada permohonan untuk ekstradisi. Ia telah disahkan oleh (Perdana Menteri Malaysia) Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini,” katanya dalam sidang media selepas membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabat Dr Wan Azizah di Parlimen.
Bishop juga ditanya mengenai jangka masa Sirul Azhar dijangka pulang ke Malaysia.
Beliau berkata memandangkan tiada permohonan berhubung ekstradisi, tidak sesuai bagi beliau untuk spekulasi mengenai tempoh kepulangannya.
Comments
Post a Comment