Skip to main content

Bagaimana BN jadi pembangkang di Parlimen baru



KUALA LUMPUR -- Berlatarbelakangkan Malaysia baharu, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 bakal melakar sejarah negara apabila memulakan persidangan pada Isnin, 16 Julai ini.

  Mesyuarat pasca Pilihan Raya Umum ke-14 itu merupakan yang pertama selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lepas, menjadikannya antara acara yang dijangka menjadi tumpuan peminat politik dalam dan luar negara.

  Ramai yang menaruh harapan agar kerajaan baharu itu dapat melaksanakan penambahbaikan untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik dan tidak kurang juga yang ternanti-nanti untuk menyaksikan bagaimana wakil rakyat BN 'membawa diri' sebagai pembangkang di Parlimen.

     Membentuk kerajaan berdasarkan majoriti mudah, PH yang dianggotai PKR, DAP, PPBM dan Amanah menguasai 116 kerusi Parlimen keseluruhannya, dengan 50 kerusi disumbang PKR, DAP (42 kerusi), PPBM (13 kerusi) dan Amanah (11 kerusi).

  PH turut menikmati  sokongan parti  tempatan Sabah iaitu Warisan yang memenangi lapan kerusi Parlimen menjadikan jumlah keseluruhan kerusi dalam genggaman PH kepada 124 kerusi.

  Sementara itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan hasil tindakan PBB, SUPP, PRS dan PDP keluar daripada BN pada awal Jun lepas pula menguasai 19 kerusi di Parlimen, dan ia juga telah menyatakan sokongannya terhadap PH.

  Komposisi kerusi Parlimen selebihnya adalah dipegang oleh BN iaitu sebanyak 54 kerusi, iaitu 51 daripada UMNO, MIC (dua) dan MCA (satu).

  PAS pula memiliki 18 kerusi manakala parti tempatan Sabah iaitu UPKO, PBS, PBRS dan Star masing-masing mempunyai satu kerusi Parlimen. Tiga kerusi selebihnya adalah dimiliki anggota Parlimen Bebas.

  Seramai 90 orang anggota Parlimen (MP) baharu akan membuat penampilan julung kali mereka pada sidang ke-14 ini, selain kemunculan semula 11 anggota Parlimen yang dahulunya pernah berkhidmat sebagai MP manakala 121 lagi merupakan anggota Parlimen daripada penggal lepas yang berjaya dipilih semula pada 9 Mei lepas.

  Pelajar kolej jurusan undang-undang P. Prabakaran (PKR-Batu) yang berusia 22 tahun bukan sahaja merupakan MP termuda pada sidang Parlimen kali ini, tetapi juga mencatat sejarah sebagai wakil rakyat paling muda pernah dipilih, sekali gus memadamkan rekod MP Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusia 23 tahun ketika dipilih pada tahun 1976.

  Mesyuarat pertama Parlimen ke-14 selepas PRU dijadual bermula dengan pemilihan dan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

  Jawatan itu boleh dipegang seseorang yang dipilih daripada anggota  Dewan Rakyat ataupun bukan dalam anggota Dewan Rakyat, yang mempunyai kelayakan.

  Walaupun belum disahkan, nama dua bekas hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunos antara yang disebut-sebut sebagai calon bagi jawatan itu.

  Selepas pemasyhuran Yang Dipertuan Dewan, istiadat angkat sumpah anggota-anggota Parlimen akan dimulakan dengan diketuai perdana menteri, timbalan perdana menteri, jemaah menteri, timbalan menteri serta anggota-anggota Dewan yang lain dan akhir sekali pemilihan dua orang daripada kalangan wakil rakyat kerajaan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan.

  Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali aktif berpolitik setelah bersara pada 2003 memenangi kerusi Parlimen Langkawi,  turut mencipta sejarahnya sendiri apabila dipilih menjadi perdana menteri untuk kali kedua dan sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh pada usia 93 tahun.

  Kali pertama beliau menerajui pentadbiran negara ialah selama 22 tahun iaitu dari tahun 1981 hingga 2003 ketika beliau menjadi perdana menteri keempat.

  Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan merasmikan serentak persidangan penggal pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Selasa.

  Selain itu, tumpuan juga terarah kepada kemampuan kerajaan PH untuk melaksanakan janji-janji dalam manifestonya  termasuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan secara tergesa-gesa pada Mac dan diwartakan April lepas serta Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

  Pemansuhan GST enam peratus iaitu  satu daripada manifesto utama PRU PH. Putrajaya telah melaksanakan 0 peratus GST mulai 1 Jun dan ia akan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai September ini.

  Mesyuarat pertama ini akan berlangsung selama 20 hari iaitu sehingga 16 Ogos

  -- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...