Skip to main content

Pilih kereta lokal tak ada prestij?



KUALA LUMPUR – “Buruh nelayan dan juga petani, gaya hidup kini dah berubah, anak-anak terasuh mindanya, lahir generasi bijak pandai, pakar IT pakar ekonomi, jaguh sukan dan juga jutawan, berkereta jenama negara, megah menyusur di jalan raya”.
Pasti ramai yang mengingati bait-bait lagu patriotik ini, yang merupakan lagu Hari Kebangsaan Malaysia dari 2000 hingga 2006.
Lagu bertajuk ‘Keranamu Malaysia’ menceritakan transisi rakyat dan negara yang semakin ke hadapan dalam mencipta pelbagai pencapaian yang membanggakan.
Pada masa sama, ia menampilkan kebanggaan rakyat Malaysia terhadap kereta nasional generasi pertama, Saga, yang dikeluarkan Proton, syarikat yang diasaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 9 Julai 1985.
Tidak setakat menjadi simbol ‘Malaysia Boleh’, kelahiran kereta sulung itu membolehkan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kereta nasional sendiri.
Selepas lebih tiga dekad melalui zaman ‘jatuh bangunnya’, malah dengan Proton kini dikongsi milik dengan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely), Dr Mahathir mengemukakan cadangan untuk mewujudkan syarikat kereta nasional kedua.
Idea Dr Mahathir, yang kembali bergelar Perdana Menteri buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas, bagaimanapun kurang mendapat sambutan seperti yang dinyatakan dengan kesal dalam blog beliau.
Dr Mahathir, secara sinis, berkata negara tidak layak dan tidak mampu mengadakan industri automotif kerana rakyat lebih rela membeli kereta import termasuk dari China selain turut memilih kereta buatan Jepun dan kereta Jerman bagi yang lebih berkemampuan.
“Saya masih ingat kereta Jepun sejurus selepas perang. Kata pengguna, kalau kita toreh dengan kuku, kita akan lihat tin Milo. Tetapi, daripada kereta tin Milo inilah datang aneka model Toyota, Nissan dan Suzuki yang kita guna sekarang. Tentulah, ini tidak akan berlaku dengan Malaysia. Kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya," kata beliau.

KURANG YAKIN?

Mengulas perkara itu, Prof Madya Dr Nurhaizal Azam Arif, Pensyarah Perniagaan Antarabangsa dan Firma Multinasional di Hiroshima City University, Jepun berkata: “Kurang yakin malah kecewa dengan pencapaian Proton sebelum ini mungkin menjadi antara faktor mengapa ramai tidak menyokong idea ini.
“Kebimbangan ini juga berkait dengan pembaziran wang rakyat jika ia gagal dikendali dengan baik selain rakyat pada masa sama mungkin kurang faham manfaatnya untuk jangka masa panjang lebih-lebih lagi kepada sektor automotif negara,” katanya.
Beliau berkata rakyat hari ini sebenarnya lebih mengutamakan kehendak, minat dan kepuasan terhadap jenama, model, reka bentuk, kualiti serta harga kereta dan tidak ramai yang faham akan perkembangan terkini dan peluang baharu yang boleh diwujudkan melalui industri automotif global masa kini.
Selain berupaya mengembangkan sektor ekonomi, manfaat limpahan industri automotif juga boleh menyumbang kepada aspek lain seperti sosial dan pendidikan.
Berpendapat apa yang berlaku kepada Proton adalah ‘pasang surut’ dalam industri, beliau meminta ia dijadikan sebagai iktibar dan bangkit untuk kembali mencipta kejayaan.
“Kita sebenarnya perlu terus bangun... peribahasa Jepun ada menyebut ‘nanakorobi yaoki’ yang bermaksud tujuh kali kita jatuh, lapan kali kita perlu bangun. Peribahasa itu menjelaskan bahawa kita perlu berusaha untuk bangun, berjuang dan belajar daripada pengalaman tanpa mengenal erti putus asa,” katanya.

KONSEP KERETA JEPUN

Nurhaizal Azam berkata jika dibandingkan dengan Proton, Toyota sebenarnya menghadapi cabaran dan kegagalan lebih teruk malah pernah hampir bankrup.
“Selepas perang dunia kerajaan Jepun telah memutuskan untuk mengimport sahaja kereta dari Amerika Syarikat (AS). Pada ketika itu, Ford menguasai pasaran kereta dunia,” katanya sambil memberitahu bahawa Toyota ibarat ‘bayi’ tetapi dalam tempoh kurang 50 tahun berjaya mengalahkan Ford dalam pengeluaran kereta.
Menurutnya ‘jatuh dan bangun’ serta memperbaiki kelemahan telah melahirkan konsep pengurusan hebat Toyota seperti Kaizen (menjadi lebih baik), ‘Just In Time’ (JIT) atau ‘Kanban’ (tepat pada masanya).
“Begitu jugalah yang perlu dilakukan dalam usaha melahirkan kereta nasional kedua Malaysia. Keutamaannya bukan teknologi tetapi sikap… kita sebenarnya boleh ke hadapan dengan teknologi yang ada sekarang, namun ia memerlukan semangat dan budaya baharu yang lebih sihat,” katanya.
Sambil menekankan bahawa banyak yang boleh dipelajari daripada Proton, beliau berkata apa yang penting ialah keterbukaan untuk menerima kelemahan dan berusaha berubah.

PELUANG BERSAING

Dengan kerancakan industri automotif dan revolusi baharu dunia ketika ini, beliau berkata Malaysia perlu merebut peluang untuk sama-sama mengharungi keadaan itu.
Teknologi yang berubah secara keseluruhan termasuk komponen-komponen tertentu memerlukan syarikat pengeluar kereta termasuk pengeluar utama berusaha keras kerana mereka juga memerlukan kepakaran baru teknologi maklumat seperti  AI dan IoT (Internet of Things) dan jika Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang ini, negara juga berpeluang untuk bersaing.
“Inilah yang dilakukan oleh syarikat Tesla Motors, Inc. (Tesla), sebuah syarikat AS yang mereka bentuk, membuat dan menjual kereta elektrik dan komponen rangkaian kuasa kenderaan elektrik serta syarikat-syarikat automotif dari China. Tanpa mempunyai kemahiran pembuatan kereta konvensional, mereka menggabungkan kemahiran teknologi baharu ke dalam industri automotif yang sedang berkembang,” katanya.
Justeru itu, beliau menegaskan:  “Amatlah sedih jika masyarakat kita melihat idea penubuhan kereta nasional kedua, yang akan dikendalikan pihak swasta, sebagai tidak relevan. Kita mempunyai ramai pengaturcara dan jurutera sistem yang berkemampuan tetapi ramai yang bekerja dengan syarikat antarabangsa.
“Sudah sampai masanya untuk Malaysia memberi peluang kepada mereka mengasah bakat di tanah air sendiri,” katanya.
Nurhaizal Azam berkata penubuhan syarikat kereta nasional yang baharu penting untuk membuka peluang pekerjaan terutama kepada graduan, yang kini sukar mendapat pekerjaan sesuai dengan bidang dan kelayakan mereka.
Pada masa sama, ia dapat membantu membangunkan industri pembuatan komponen, industri pendidikan lebih-lebih lagi institusi pengajian tinggi melalui peluang penyelidikan dan membangunkan teknologi baharu sekali gus membina ekosistem baharu industri automotif negara yang lebih realistik.
“Jika ia terus dipandang sepi (tidak mendapat sambutan) kita akan terus bergantung kepada kereta import dan selamanya akan menjadi pembeli kerana tidak mempunyai kemahiran serta pengetahuan mencipta nilai berdasarkan pembuatan. Selamanya jugalah kita akan menjadi ‘trader’ (peniaga) bukan ‘creator dan maker’ (pencipta dan pengeluar).
“Perkara ini dikhuatiri akan merebak kepada industri lain dan akan menyebabkan perindustrian negara menjadi lemah dan hanya bergantung kepada syarikat asing. Sistem pendidikan terutamanya bidang kejuruteraan akan menjadi kurang popular dan negara akan hilang daya saing,” katanya.
“Melalui Revolusi Perindustrian 4.0 atau Industri 4.0,  bentuk pemilikan kenderaan juga mungkin akan berubah. Jika kita meninggalkan industri automotif dan pembuatan kereta bererti kita akan terlepas peluang untuk menyertai revolusi baharu ini.
“...jika idea mewujudkan kereta kedua negara ini tidak penting, masakan Geely berminat untuk membeli Proton dan berusaha untuk masuk ke pasaran ASEAN,” jelasnya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...