Skip to main content

Agensi pakej haji, patuhi peraturan atau disenarai hitam



MAKKAH -- Tabung Haji (TH) mengingatkan kepada setiap agensi pelancongan yang diberikan lesen untuk mengendalikan pakej haji agar mematuhi segala peraturan dan iklan yang telah mereka keluarkan atau bakal berdepan risiko disenarai hitam.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji TH musim 1439H Mat Admara Alang Azizzdin berkata agensi-agensi ini akan sentiasa dipantau oleh pihak TH berhubung dengan perkhidmatan mereka kepada jemaah sepanjang berada di tanah suci.

"Di Madinah, kita mempunyai empat pemantau, manakala di Makkah kita mempunyai sembilan pemantau, termasuk dua Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) TH yang akan memantau ceramah haji yang dijalankan oleh agensi ini.

"Kita tidak mahu wakil penceramah dari agensi yang dilantik ini memberi ceramah yang keluar dari konteks atau hukum yang telah diputuskan oleh TH semasa muzakarah haji di Malaysia," katanya, lapor Bernama.

Dahulu, TH mempunyai lebih 30 buah syarikat yang mendapat lesen untuk melaksanakan pakej haji di tanah suci, namun selepas pemantauan demi pemantauan yang dilakukan, syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan yang serius tidak disambung lesen mereka.

"Lesen yang kita keluarkan (kepada agensi-agensi pelancongan) ini adalah lesen secara tahunan dan kesemua syarikat yang memperoleh lesen tahun ini perlu memohon semula sekiranya mereka mahu menjalankan khidmat yang sama tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat mana-mana agensi yang dilantik melakukan kesalahan yang serius, yang mampu menggugat nama baik negara, TH dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, lesen mereka tidak akan diperbaharui.

Antara kes-kes yang pernah berlaku pada tahun-tahun lepas melibatkan kesalahan yang serius adalah agensi-agensi ini menyediakan penginapan yang kecil, sempit dan tidak selesa kepada para jemaah.

"Ada satu kes (dahulu), sepatutnya hotel itu hanya boleh memuatkan maksimum tiga orang jemaah sebilik, tapi agensi ini telah meletakkan empat buah katil dalam satu bilik dan menempatkan hingga tujuh orang jemaah sebilik.

"Jemaah pakej (didapati) tidur di atas karpet berbantalkan kain ihram. Kita sudah merekodkan segala bukti. Kita mengambil gambar, nombor bangunan, nombor bilik dan nama syarikat (yang terlibat) untuk diambil tindakan," katanya.

Kesalahan lain yang pernah dilakukan oleh agensi berkenaan melibatkan jarak di antara tempat penginapan dan masjid, di mana jarak sebenar adalah lebih jauh berbanding dengan jarak yang diiklankan oleh agensi terbabit.

Bagi memastikan agensi yang dilantik benar-benar mengikuti panduan dan tawaran berkaitan jarak yang dibuat dalam iklan, beliau berkata pihak TH akan mengukur sendiri jarak perjalanan di antara tempat penginapan mereka dengan masjid.

Berikutan peraturan ketat dan pemantauan berkala yang dilaksanakan oleh pihak TH, beliau berkata agensi yang dilantik kini lebih berhati-hati dalam menawarkan pakej-pakej kepada jemaah dan memastikan pakej-pakej itu diikuti sepenuhnya.

"Daripada kesemua syarikat yang tidak disambung lesen mereka (kerana membuat kesalahan berat), tiada satu pun daripada mereka yang mendapat lesen mereka semula (sehingga kini)," katanya.

Pada tahun lepas, beliau berkata terdapat 19 buah agensi yang diberi lesen oleh TH untuk mengendalikan pakej jemaah haji Malaysia ke tanah suci berbanding 20 buah agensi yang dilantik untuk tahun ini.

Katanya agensi-agensi pelancongan yang diberikan lesen untuk menjalankan urusan haji ini perlu membuat pengiklanan sendiri bagi mendapatkan jemaah dalam kalangan umat Islam Malaysia yang terpilih untuk menunaikan haji.

"Jumlah jemaah haji yang memilih untuk menjalankan ibadah haji bersama-sama 20 agensi pelancongan ini adalah 6,404 jemaah dengan bayaran antara RM26,500-RM177,000 bagi setiap jemaah.

"Antara faktor yang membezakan harga yang ditawarkan oleh agensi-agensi adalah jenis penginapan jemaah di Madinah dan Makkah, iaitu lebih kepada hotel bertaraf lima bintang, di samping penginapan mereka semasa di Arafah dan Mina," katanya.

Semasa di Arafah dan Mina, beliau berkata jemaah yang memilih pakej haji ini akan ditempatkan di khemah-khemah yang lebih selesa berbanding dengan jemaah muassasah.

Jemaah yang memilih pakej haji juga akan dihidangkan makanan tiga kali sehari, berbanding hanya dua kali, tengah hari dan malam, bagi jemaah muassasah, di samping minuman panas dan sejuk yang tersedia sepanjang hari, katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...