KULAI -- Seorang arkitek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap tiga wanita, antara Julai 2016 dan Januari tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Nizam Abdul Razak, 44, yang berkhidmat di Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan menunjukkan kemaluannya terhadap seorang wanita berumur 21 tahun di dalam Bilik Ketua Jabatan Bangunan MPKu, Kulai, pada 4.30 petang, 2 Januari tahun lepas.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang wanita berumur 37 tahun di Bilik Juruaudit MPKu, Kulai, kira-kira 9.30 pagi antara 1 dan 15 Julai 2016 manakala pertuduhan ketiga terhadap seorang wanita berumur 30 tahun di Bilik Ketua Jabatan Bangunan MPKu, Kulai, antara 8 pagi dan 6 petang, antara 15 dan 31 Dis 2016.
Mohamad Nizam yang merupakan seorang duda didakwa mengikut Seksyen 337D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga wanita berkenaan turut berkhidmat di MPKu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam, Zul Azam Md Dahlan.
Pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan dikenakan sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh bagaimanapun, Zul Azam memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan jumlah terbabit di luar kemampuan anak guamnya, lapor Bernama.
Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal kemudian menetapkan jaminan RM6,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Comments
Post a Comment