KOTA BHARU -- Kerajaan Kelantan mengharapkan atlet negeri itu yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak dapat mempertingkatkan pemakaian patuh syariah pada temasya sukan tersebut.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Zuraidin Abdullah berkata walaupun aspek pemakaian patuh syariah tidak diwajibkan, kerajaan negeri berharap ia dapat dipertingkatkan atlet terlibat.
"Pemakaian patuh syariah bukan diwajibkan kepada 358 atlet dari Kelantan yang menyertai Sukma, namun kerajaan negeri amat menggalakkan atlet muda kita supaya mematuhi pemakaian tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Kepada Ketua Kontinjen Kelantan Ke Sukma XIX.
Bendera tersebut diserahkan kepada Ketua Kontinjen Kelantan Datuk Zamri Ismail.
Zuraidin berkata budaya mematuhi pemakaian patuh syariah ketika bersukan sudah diterima negara yang mempunyai ramai penganut beragama Islam.
"Malah, jika kita tengok pada Sukan Olimpik, ramai atlet tampil dengan pakaian menutup aurat, oleh itu elemen itu bukan hanya dari Kelantan.
"Pemakaian patuh syariah ini sudah diamalkan di peringkat global, jadi kita harap atlet kita juga dapat tampil dengan budaya itu," katanya, lapor Bernama.
Dalam perkembangan sama, Zuraidin berkata atlet Kelantan perlu mengambil peluang menyertai Sukma pada kali ini sebagai platform untuk memperkembangkan karier mereka ke peringkat lebih tinggi.
"Sekarang ada atlet yang mewakili negara pada Sukan Asia di Indonesia dilahirkan menerusi Sukma," katanya.
Comments
Post a Comment