Skip to main content

Bilik khas menyusu anak untuk ibu penjawat awam di Johor


ISKANDAR PUTERI -- Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) akan melancarkan kempen 'Mama Friendly' yang bertujuan memupuk suasana mesra ibu dan kanak-kanak khususnya bayi dengan menyediakan infrastruktur bilik khas ibu menyusu dalam sektor kerajaan dan swasta di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Chai Tung berkata, Kerajaan Negeri akan menyediakan bilik khas untuk ibu menyusu di bangunan kerajaan di Kota Iskandar sebagai langkah menyediakan tempat sesuai bagi lebih 580 penjawat awam wanita mengepam susu badan dalam waktu bekerja.
"Menyedari realiti hari ini di mana kekurangan tempat yang sesuai untuk ibu yang bekerjaya ini mengepam susu badan dan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa melakukannya di pantri ataupun dalam tandas, maka, Kerajaan Negeri terpanggil untuk menyediakan sebuah bilik khas yang dilengkapi dengan kelengkapan sesuai," katanya pada ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, lapor Bernama.
Liow berkata Kerajaan Negeri merancang untuk menyediakan bilik khas pertama bagi penyusuan itu di Bangunan Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar.
"Hasil kajian dan soal selidik yang dijalankan di bangunan itu, mendapati terdapat 69 ibu yang bekerja di bangunan berkenaan dan 67 daripada mereka akan menggunakan bilik khas ibu menyusu sekiranya ia disediakan.​​​​​​​
"Inisiatif ini sebahagian daripada agenda Kerajaan Negeri untuk menggalakkan penyusuan ibu untuk perkembangan dan kesihatan bayi," katanya.
Menurut Liow, Kerajaan Negeri juga amat berharap agar inisiatif ini dapat merangsang sektor swasta untuk turut sama menyediakan bilik khas menyusu di tempat kerja sebagai tanda sokongan terhadap syor Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar ibu memberi susu mereka kepada bayi semenjak hari kelahiran sehinggalah berusia enam bulan ke atas.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga merancang untuk membangunkan semula Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negeri Johor.
"Kerajaan Negeri sebelum ini pernah menyedia dan membangunkan sebuah Pelan Tindakan  Pembangunan Wanita Negeri Johor 1997-2001 yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita di Johor.
"Mungkin sudah sampai masanya Kerajaan Negeri menyemak dan membangunkan semula Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negeri Johor yang baru dengan mengambil kira keperluan dan isu semasa berkaitan memperkasakan wanita.
"Menerusi bajet negeri Johor 2019, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan terhadap beberapa perkara dan cadangan yang menyantuni dan memperkasakan kaum wanita di Johor," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...