Skip to main content

Jadi seorang yang patriotik dan beli produk tempatan - Tun M



PUTRAJAYA — Rakyat Malaysia perlu mencontohi semangat patriotisme seperti yang dimiliki rakyat Jepun dengan menyokong membeli produk tempatan sehingga dikenali dunia sebagai produk berkualiti, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata rakyat Jepun bertindak membantu apa juga industri negara mereka termasuk industri automotif kerana mempunyai  semangat patriotisme secara praktikal.
Pada permulaan Jepun menceburi bidang automotif, keluarannya tidak begitu tinggi mutunya namun sokongan rakyatnya yang patriotik menyebabkan industri itu dapat diperbaiki lagi.
"Dalam pembuatan kereta mereka semakin lama semakin maju sehingga hari ini sampai ke tahap dikenali dunia sebagai negara yang keluarannya bermutu tinggi. Inilah hasil pengorbanan mereka (rakyat Jepun) pada awalnya yang membeli barangan buatan mereka sendiri,” katanya.
“Orang Malaysia pun suka membeli kereta Jepun yang berkualiti walaupun harga lebih mahal dari Proton,” katanya lagi, lapor Bernama.
Dr Mahathir berkata jika rakyat mencontohi sikap patriotisme orang Jepun, Malaysia akan membangun dan menjadi negara maju.
Dr Mahathir berkata beliau memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang terdapat Jepun, Korea dan China, yang mana mereka maju dengan pesat sebab kualiti budaya mereka.
"Mereka kerja keras dengan menentukan hasil sebaik mungkin sehingga berjaya sebaik mungkin.
“Itulah sampai hari ini, kita tidak jumpa kereta Austin, Morris di atas jalan kita... dikalahkan kereta Toyota, Hyundai dan tidak lama lagi Geely,” katanya.
Dr Mahathir berkata apa yang penting, rakyat Malaysia perlu mempunyai semangat mulia, amanah dan nilai hidup untuk memulihkan dan membangunkan negara.
“Orang Jepun malu sangat kalau gagal melaksanakan arahan dan matlamat. Tetapi orang Malaysia malu sebab miskin atau tidak dapat sesuatu,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mahu penjawat awam bertanggungjawab dengan berpegang pada budaya mulia dan menolak segala perbuatan rasuah.
“Kalau ada pegawai berminat rasuah, negara akan hancur,” katanya.
Dr Mahatir turut menceritakan bahawa beliau dijemput untuk menunjuk ajar kepada golongan remaja Jepun mengenai budaya Jepun di Forum Fokuoka, yang telah dihadiri sebanyak 15 kali.
“Nampak mereka (orang Jepun) masih berminat untuk mendengar orang Melayu mengajar orang Jepun menjadi Jepun.
“Orang muda Jepun confuse (keliru) kerana mereka melihat dalam televisyen budaya berlainan daripada yang disampaikan ibu bapa. Itu sebab perlu bawa mereka balik kepada budaya yang membawa kejayaan,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...