Skip to main content

Kerajaan cadang kurangkan hari cabutan khas nombor ramalan



KUALA LUMPUR -- Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan bercadang mengurangkan bilangan hari cabutan khas untuk semua syarikat nombor ramalan bermula 2019 dalam usaha mengurangkan masalah sosial melibatkan aktiviti perjudian.
Menurut Lim, dasar baharu ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2019 pada 2 Nov nanti.
"Pada tahun 2018 sebanyak 22 kali cabutan khas diadakan serentak di seluruh negara.
"Pengurangan bilangan cabutan khas ini adalah langkah awal kerajaan dalam mengurangkan aktiviti perjudian agar aktiviti ini tidak mendatangkan masalah sosial seperti ketagihan judi melampau," katanya pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada kerajaan merancang membenarkan syarikat ramalan nombor seperti Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai terus mengadakan cabutan khas pada hari Selasa tertentu bagi tahun 2019 dan masa akan datang.
Cabutan khas dimulakan pada tahun 1999 bagi membantu mangsa wabak Virus Nipah pada masa itu namun ia diteruskan sehingga kini walaupun wabak itu telah lama berakhir. 
Mengulas lanjut, Lim berkata secara purata kerajaan mengutip sebanyak RM200 juta cukai dosa sejak tahun 1999 atau purata RM20 juta cukai dosa dikutip setiap tahun.
"Tujuan wang akaun ini antara lain untuk menampung program sukan, kesihatan, kebudayaan dan aktiviti sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara seperti yang terkandung dalam garis panduan penggunaan wang akaun amanah sumber khas Kementerian Kewangan," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran) mengapa kerajaan tidak menguatkuasakan pengurangan jadual cabutan khas itu pada masa ini jika benar-benar berhasrat mengurangkan masalah sosial akibat perjudian, Lim berkata kerajaan tidak mahu membuat sesuatu secara tergesa-gesa dan memberi masa semua pihak terlibat untuk bersedia.
"Ini satu penambahbaikan bila kita kurangkan, kita nak lihat kemajuan dalam masa akan datang kita juga nak buat secara adil kepada semua pihak. Notis akan diberi kepada mereka (syarikat) yang terlibat, bukankah ini lebih baik daripada kerajaan sebelum ini di mana ia dikekalkan dan tidak dikurangkan langsung?," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang mempersoalkan langkah kerajaan Pakatan Harapan meneruskan cabutan khas sedangkan terdapat anggota Parlimen DAP sendiri yang mendesak cabutan khas nombor ramalan dihentikan kerana ia menyebabkan masalah kewangan terutama kepada golongan berpendapatan rendah terjebak dalam aktiviti perjudian.
Takiyuddin turut membacakan laporan yang dikeluarkan Roketkini.com pada 1 Nov, 2016 yang menyebut dua anggota Parlimen DAP iaitu anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan bekas anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong mendesak kerajaan menghentikan cabutan khas nombor ramalan.
Berdasarkan laporan itu, Loke berkata cabutan nombor ramalan ini diperuntukkan setiap minggu oleh Kementerian Kewangan kepada setiap syarikat nombor ramalan seperti Magnum, Toto dan Da Ma Cai pada hari Rabu, Sabtu dan Ahad.
Manakala cabutan khas lazimnya diperuntukkan dua kali dalam tempoh sebulan pada hari Selasa menyebabkan pada minggu yang ada cabutan khas, akan ada empat hari cabutan.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...