ALOR SETAR -- Orang ramai yang sedang berurusan di sebuah bank di Pekan Jitra gempar seketika apabila seorang lelaki yang sedang menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri, pagi ini.
Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.22 pagi sebelum tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.
"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit sudah meninggal dunia dan beberapa minit kemudian pihak hospital dan ambulans tiba jadi, kami serahkan mangsa kepada mereka untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata mangsa Mohammad Nor Abu Seman, 53, yang berasal dari Kampung Padang Asun, Jitra memiliki kad rawatan bagi penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
"Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan mendapati tiada unsur jenayah dan punca kematian dipercayai akibat serangan darah tinggi," katanya.
Jenazah mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Jitra dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Comments
Post a Comment