Skip to main content

Selangor perlu suara pembangkang yang kuat



PETALING JAYA -- Kerajaan Selangor memerlukan suara pembangkang yang kuat bagi mengelakkannya daripada 'leka dan lena' dalam menjalankan amanah, kata calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai anggota Exco kerajaan Selangor sebelum ini, adalah sukar untuk wakil rakyat kerajaan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kerajaan negeri.
"Jika calon Pakatan Harapan juga yang menang di sini, adakah dia mampu untuk menegur kerajaannya sendiri, pemimpinnya sendiri, ia bukan mudah…suaranya akan diterhadkan dan diminimakan," katanya kepada pemberita selepas selesai proses pencalonan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi.
Turut memberikan sokongan kepada Dr Halimah ialah beberapa pemimpin UMNO, antaranya  Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.
​​​​​​​​​​​​​​Pada PRK itu 8 Sept ini, Dr Halimah berdepan pertembungan satu lawan satu menentang calon PH, Halimey Abu Bakar.
PRK berkenaan diadakan selepas penyandangnya Prof Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata PAS akan mengetengahkan isu kegagalan dalam menunaikan janji 100 hari PH dan ketidakseimbangan komposisi wakil rakyat di DUN Selangor, dalam kempen 21 hari yang bermula hari ini.
Menurut beliau, dua isu itu penting kerana rakyat sedikit sebanyak telah menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan PH.
"Rakyat Selangor memerlukan suara pembangkang yang kuat untuk mengimbangi kerajaan negeri, sekarang cuma ada lima pembangkang dalam DUN Selangor, oleh itu perlu ada semak dan imbang yang kuat dalam kerajaan negeri.
​​​​​​​“Yang kedua apabila peralihan berlaku, rakyat boleh menilai prestasi 100 hari yang dijanjikan PH dan sejauh mana kerajaan menunaikan harapan rakyat. Ini antara dua isu yang akan kita bawa,” katanya.
​​​​​​​Dalam pada itu, Ismail Sabri ketika ditemui berkata, UMNO akan menurunkan jentera pilihan rayanya selain menyenaraikan penceramah berkaliber untuk membantu PAS dalam PRK itu.
“Kita akan berbincang dengan PAS kerana mereka akan memimpin untuk kempen serta apa yang diperlukan oleh parti itu. Tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan menggerakkan jentera mereka pada PRK kali ini,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...