Skip to main content

Tukar hakim: sistem kehakiman tidak telus - peguam Najib



KUALA LUMPUR -- Pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah hari ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Berhad Development (1MDB).
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 65, berkata kesemua pertuduhan itu juga tiada kena-mengena dengan kapal mewah 'Equanimity’ yang dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB.
“Kes ini bukan 1MDB, kes ini kes SRC (SRC International Sdn Bhd), ini (juga) tidak ada kena-mengena dengan bot yang besar yang tiba di PelabuhanKlang.
“Secara kebetulan pertuduhan dibuat di mahkamah hari ini, orang ramai beranggapan mungkin ada kaitan dengan bot Equanimity dan 1MDB. Ia tidak ada kena-mengena langsung,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah selepas prosiding pendakwaan terhadap Najib selesai.
Sehubungan itu Muhammad Shafee berharap orang ramai tidak mengaitkan pertuduhan tambahan itu dengan kedua-dua perkara tersebut.
Semalam, kapal mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low berlabuh di Terminal Boustead Cruise Centre, Klang, di sini pada 12.35 tengah hari diiringi empat bot peronda Polis Marin. 
Kapal itu dikatakan mula belayar dari kepulauan Batam, Indonesia sehari sebelumnya selepas dilaporkan diserahkan kepada pegawai kanan Polis Marin Malaysia di Batam.
Kapal mewah itu dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB dan pihak berkuasa antarabangsa masih memburu Jho Low yang dikatakan pemilik kapal tersebut. 
Mengulas isu pertukaran Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Sivil dan digantikan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali  untuk mendengar kes Najib, Muhammad Shafee berkata pihaknya telah mengemukakan surat kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim berhubung perkara itu, semalam.
Tegas Shafee, pihaknya tidak menyalahkan kedua-dua hakim tersebut namun menyifatkan sistem kehakiman negara  tidak telus apabila menukarkan Sofian tanpa permohonan rasmi di mahkamah terbuka.
“Sekarang, walaupun kami tidak ada masalah dengan kedua-dua (hakim) Nazlan atau Sofian, kami fikir sistem (pendaftaran Putrajaya) tidak peka. Jika anda fikir hakim Sofian mesti tarik diri  maka anda (pendakwaan dan pembelaan) perlu membuat permohonan di hadapan beliau.
“Namun tidak ada yang buat permohonan agar Mohd Sofian menarik diri. Kami bukan merungut tentang hakim cuma kami tidak berpuas hati tentang proses. Apa yang berlaku bukan silap kedua-dua hakim tetapi sistem yang salah… kenapa anda lakukan demikian, kenapa anda tukar dan pindahkan hakim tanpa melakukannya di mahkamah terbuka,” katanya.
Terdahulu pada prosiding hari ini, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities ("Rentas") dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.
Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -- Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...