Skip to main content

Wajarkah nikah kanak-kanak


KUALA LUMPUR -- Cinta atau diperdaya? Inilah persoalan yang membelenggui isu perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak perempuan di negara ini, lebih-lebih lagi sekiranya pasangan mereka adalah lelaki dewasa yang jauh lebih berusia.
Ramai yang berpendapat kanak-kanak perempuan tidak wajar dijadikan isteri pada usia terlalu muda, di mana mereka sepatutnya masih di bangku sekolah serta dalam jagaan dan bimbingan ibu bapa.
Mereka juga belum tahu banyak perkara terutamanya yang berkaitan dengan tanggungjawab sebagai isteri.
Akta  Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan bahawa kanak-kanak  di Malaysia adalah mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah.
Pakar Psikologi Klinikal di sebuah klinik swasta di Bangi Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar berkata kanak-kanak perempuan lazimnya tidak menyedari bahawa mereka menjadi mangsa dalam sesuatu ‘hubungan terlarang’.
Ini kerana, pasangannya ‘mempersiapkan’ kanak-kanak perempuan berkenaan dalam  jangka masa tertentu sebelum membawa mereka ke tahap perhubungan seterusnya.
“Antara taktik berkenaan ialah dengan bersikap baik terhadap kanak-kanak, sering memujinya, memberi hadiah serta menyakinkan mereka bahawa perlakuan  seksual adalah  sesuatu yang biasa dalam sesuatu perhubungan,” katanya.

TAHAP INTELEK

Azlina menjelaskan intelek kanak-kanak perempuan selalunya mula berkembang dari usia 13 tahun, dan ini menyebabkan pemikiran mereka lebih mudah ‘menerima’ kata-kata atau ‘idea’ yang diberi kepada mereka.
Perkembangan intelek itu melibatkan tiga kemahiran iaitu berunding, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
“Kemahiran ini biasanya dibangunkan semasa berusia 13 hingga 18 tahun,” kata Azlina, yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam menangani kes sosial remaja seperti kehamilan luar nikah, lari dari rumah, penderaan seksual, murtad dan lain-lain.
Justeru itu, beliau berpendapat kanak-kanak perempuan sama sekali belum bersedia dari segi psikologi untuk berkahwin.
“Mungkin seseorang anak perempuan itu kita katakan matang sebab dia boleh membantu ibu bapanya, dia boleh buat kerja rumah, jaga adik dan sebagainya, tetapi sebenarnya dia tidak mampu untuk menghadapi dinamik hubungan suami isteri dan pengaruh keluarga.
“Mereka akan terdedah pada penderaan mental tanpa mereka sedari dan akan menganggap diri mereka yang bersalah jika dimarahi atas sesuatu kesalahan,” jelas beliau sambil menekankan bahawa peringkat umur itu belum benar-benar memahami realiti kehidupan serta tidak tahu tentang hak-hak mereka.
Mereka belum cukup matang untuk menghadapi situasi di mana mereka dibuli oleh individu yang berada dalam kedudukan membuli mereka, seperti suami yang tidak bertanggungjawab, madu, ibu mertua atau saudara ipar.

PERKEMBANGAN BIOLOGI

Selain itu, Azlina menekankan bahawa perkembangan psikologi kanak-kanak perempuan sangat dipengaruhi oleh perkembangan biologi mereka.
Kanak-kanak perempuan yang berumur antara 10 hingga 12 tahun akan mengalami haid di mana sistem reproduktif mereka baharu sahaja berfungsi mengeluarkan ovum.
“Walaupun dianggap baligh dan boleh mengandung jika melakukan hubungan seks, namun ovari mereka masih belum cukup kuat.
“Rahim mereka cenderung mengalami  kecederaan semasa hubungan seks serta risiko lain seperti kehamilan seperti keguguran. Hal ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal malah boleh meninggalkan kesan psikologi.
“Dan jika melahirkan anak, adakah mereka sudah bersedia untuk menanggung tanggungjawab sebagai seorang ibu?” soal Azlina.

BUKAN ISU BARU

Isu perkahwinan bawah umur, khususnya yang melibatkan pasangan Islam, bukanlah perkara baharu dan sering menarik perhatian masyarakat.
Antara kes yang pernah mendapat perhatian ramai dan menimbulkan kontroversi adalah perkahwinan antara Nor Fazira Saad, 12, dan Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20, di Kedah pada 2014.
Turut mendapat tumpuan ramai adalah perkahwinan pelajar tingkatan lima Nur Izzati Amiera Ishak, 17, dengan teman lelakinya Muhd. Muaz Mislan, 15, di Johor pada 2014.
Jika kebiasaannya perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan remaja, kes yang berlaku di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat kerana melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan budak perempuan berumur 11 tahun itu.
Rata-rata tidak  bersetuju dengan perkahwinan itu, yang didakwa dilangsungkan  dengan kebenaran dan restu ibu bapa budak perempuan berkenaan di Kampung Padang Nyor berdekatan Sungai Golok, Thailand, pada pertengahan Jun lepas, sehingga ada yang mengaitkan perbuatan itu dengan fidofilia.
Namun, ada juga yang menerimanya berdasarkan agama.

RELA ATAU MANGSA?

Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, yang mengulas isu itu menerusi laman Facebook beliau, menjelaskannya berdasarkan pendapat Mazhab Al-Syafi’i selain menghuraikan dalil-dalil dalam Islam yang mensyaratkan kerelaan wanita dalam sesuatu  perkahwinan.
Namun, katanya, kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya.
“Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela.
“Realiti dan cabaran kehidupan zaman ini dan dahulu juga tidak sama. Untuk hidup di zaman moden, di negara kita, anak perempuan perlukan pendidikan dan pelajaran yang secukupnya,” jelasnya.
Mohd Asri berkata wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan dan mahu memperoleh keuntungan tertentu daripada perkahwinan juga tidak layak menjadi wali.
“Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa,” katanya.

HUKUMAN RINGAN

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang pula berkata  perkahwinan pasangan itu melanggar banyak peraturan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002.
Antara kesalahan yang dilakukan ialah menikahkan anak bawah umur iaitu di bawah umur 16 tahun tanpa kebenaran Mahkamah Syariah bagi bapa atau wali pengantin perempuan; kesalahan berpoligami tanpa kebenaran bagi pengantin lelaki; dan kesalahan bersubahat bagi semua yang hadir di majlis tersebut termasuk ibu, saksi dan ejen yang membawa mereka bernikah di selatan Thailand.
Setiap kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
“Bagaimanapun, hukuman yang dikenakan adalah terlalu ringan dan dilihat tidak berkesan untuk mencegah perbuatan seumpama itu daripada berulang,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kerajaan-kerajaan negeri mengkaji semula hukuman denda dan penjara bagi kesalahan menikahkan anak bawah umur dan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran daripada denda maksimum RM1,000 kepada RM5,000 dan mengenakan hukuman penjara daripada enam bulan kepada tiga tahun.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Proton SUV open for booking at RM1,000

KUALA LUMPUR -- National car maker, Proton Holdings Bhd, is adopting an alphanumerical naming system for its future models beginning with the X70, its first sport utility vehicle (SUV). Sales and Marketing Vice-President Abdul Rashid Musa said the letter X is synonymous with crossover or SUV vehicles, while the number 70 denoted the size or class of the SUV and would enable Proton to adopt a logical system to add bigger or smaller models in the future. “This is the first time an alphanumerical naming system is used on a Proton model as our research shows it will make it easier to sell in ASEAN and other international markets, as there are no language barriers to overcome,” he told reporters at the preview of the new SUV. Proton Chief Executive Officer Dr Li Chunrong said Proton's adoption of the new naming system would make customer more focus on the brand name as compared with the model name. Abdul Rashid, who is also the Chief Executive Officer o...

Pendapatan RM2 juta tanam tembikai wangi

KOTA BHARU -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) gembira apabila pendapatan 29 peserta Ladang Kontrak Projek Agrotourism di Kampung Banggol di sini kini hampir mencecah RM2 juta setahun. Pengerusinya, Ishak Ismail berkata beliau yakin hasil penanaman tembikai wangi yang mereka usahakan di sebidang tanah berkeluasan lebih 40 hektar di kampung itu akan mencecah lebih RM2 juta pada tahun ini berdasarkan kepada mutu buah yang semakin baik dan mendapat permintaan tinggi. "Pendapatan mereka kini meningkat pada setiap tahun dan sebagai perbandingan pada 2011 mereka mendapat sekitar RM235,000 dan pada tahun lepas pendapatan mereka sudah mencecah hampir RM2 juta. "Ini hasrat kita untuk melihat petani ini berjaya dan akhirnya keluar daripada garis kemiskinan dan sebab itu FAMA akan membantu mereka berjaya dalam pertanian," katanya kepada Bernama selepas majlis  menandatangani perjanjian jual beli tembikai...

Hujan lebat di Kelantan dijangka berlanjutan ke Januari

KOTA BHARU -- Jabatan Meteorologi Kelantan menjangkakan episod hujan lebat berkemungkinan akan berlanjutan ke bulan Januari tahun hadapan di negeri ini. Pengarahnya Rabiah Zakaria berkata ia berikutan Kelantan masih dipengaruhi Monsun Timur Laut pada bulan berkenaan. "Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menjangkakan akan berlaku empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut pada tahun ini dengan purata jumlah hujan antara 440 milimeter (mm) hingga 690mm bagi bulan Disember ini di Kelantan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Rabiah berkata setakat ini empat episod hujan lebat telah berlaku di pantai timur termasuklah yang sedang berlaku sekarang. Beliau berkata pemantauan masih lagi diteruskan dari semasa ke semasa bagi menentukan kemungkinan tersebut kerana bulan Disember belum berakhir. "Jika ramalan itu berlaku, ia sedikit sebanyak mungkin akan memberi kesan kepada persediaan untuk sesi persekolahan baharu tahun ...