Skip to main content

Arak yang dirampas kebanyakannya tiada label kastam - polis


SHAH ALAM -- Polis Selangor masih belum dapat mengenal pasti pembekal arak yang mengorbankan 24 individu di negeri itu sejak kejadian dilaporkan pada 17 Sept lalu.
Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata  pihaknya kini meningkatkan kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam bagi memeriksa premis yang disyaki menjual arak terbabit.
“Selain itu, kita kena sahkan kesahihannya sama ada (arak) tulen atau diciplak. Arak-arak ini kebanyakannya tidak ada label Kastam.
“Kita juga masih menyiasat siapa pembekal arak-arak ini dan sama ada ia datang daripada sumber yang sama. Setakat ini kita masih belum ada sebarang petunjuk mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Menurutnya siasatan dilakukan menurut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai.
Mazlan berkata setakat ini, pihaknya telah menahan 15 peniaga dan pekerja premis menjual arak terbabit merangkumi lapan warga tempatan serta tujuh warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an menerusi 17 serbuan di Shah Alam, Gombak, Sungai Buloh, Kajang dan Klang Selatan.
Katanya daripada serbuan itu, sebanyak 1,480 botol arak dan 1,670 tin bir pelbagai jenama telah dirampas.
“Jumlah kematian sehingga kini kekal 24 orang di Selangor, 17 masih dirawat dan 17 lagi telah dibenarkan keluar dari hospital.
“Mengenai laporan bedah siasat mangsa yang maut, kita masih belum menerima laporan rasmi daripada hospital dan Jabatan Kimia,” katanya, lapor Bernama.
Sejak 17 Sept lepas, lebih 30 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan arak.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...