KUALA LUMPUR -- Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul
Rahman meminta semua pihak menghormati dan memberikan ruang kepada jaguh badminton
negara Datuk Lee Chong Wei dan anggota keluarganya.
Syed Saddiq berkata beliau mengikuti perkembangan kesihatan Chong Wei
sejak awal sebelum pemain berusia 35 tahun itu ke Taiwan hingga sekarang.
“Atas kehendak Chong Wei sendiri juga saya telahpun memaklumkan khabar kesihatan
beliau kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan (isteri) Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
“Kementerian Belia dan Sukan sentiasa bersedia memberikan sokongan sepenuhnya kepada
beliau yang menjadi ikon dan wira rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza
Zakaria mengesahkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu telah didiagnosis
menghidap barah hidung peringkat awal.
Mohamad Norza berkata Chong Wei berada di Taiwan bagi mendapatkan rawatan sambil
berehat untuk sembuh bersama keluarga dan kawan rapat, lapor Bernama.
Pada Julai lalu, BAM mengeluarkan kenyataan menyatakan Chong Wei tidak akan
mengambil bahagian dalam dua kejohanan utama disebabkan masalah kesihatan serta telah
dinasihatkan agar berehat oleh doktor selepas menjalani rawatan berikutan masalah berkaitan
respiratori.
Dua kejohanan utama berkenaan ialah Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang
2018 yang masing-masing berlangsung bulan lepas.
Comments
Post a Comment