Skip to main content

Dua penjenayah culik ditembak mati berhampiran Pulau Boheyan


KUNAK -- Pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menembak mati dua lelaki dipercayai ejen jenayah penculikan untuk wang tebusan (KFR) dalam kejadian berdekatan perairan Pulau Boheyan dekat sini malam Jumaat.
Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata kedua-duanya yang disyaki pendatang tanpa izin berumur lingkungan 50-an, ditembak mati ketika cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah bot pam dalam serbuan pasukan keselamatan di Kampung Air Kunak Tiga pada kira-kira pukul 10.30 malam.
"Semasa Operasi Gasak Khas Esscom dijalankan, bot dinaiki suspek cuba meloloskan diri namun pasukan diketuai ACP Mohd Nasaruddin M Nasir bertindak mengejar bot suspek kira-kira 30 minit dan berlaku berbalas tembakan
"Mula-mula lampu biru bot polis dinyalakan sebagai memberi amaran kepada suspek supaya berhenti tetapi suspek melepaskan tembakan ke arah bot pasukan polis dan polis membalas tembakan sebelum memintas bot suspek di Pulau Boheyan dan menembak ke arah suspek," katanya  dalam sidang media, lapor Bernama.
Hazani berkata pemeriksaan ke atas bot itu menemukan dua lelaki terbaring dengan kesan tembakan pada badan.
"Polis turut menemui sepucuk pistol jenis revolver .22, tujuh butir peluru hidup jenis .22, satu pucuk pistol jenis revolver .38, satu butir peluru hidup dan lima kelongsong .38 serta  sebilah pedang  samurai," katanya.
Hazani berkata dalam operasi itu pihaknya turut merampas sebuah bot pam berwarna putih di Kampung Air Kunak Tiga yang disyaki terbabit dalam penculikan dua nelayan Indonesia pada 11 Sept lalu di Pulau Gaya, Semporna.
"Siasatan lanjut ke atas bot tertera nama Ainigel dikenal pasti terlibat dalam kes penculikan terbaharu berdasarkan deskripsi mangsa yang selamat.
"Bot ini dipercayai terlibat membuat tinjauan awal di kawasan laut Kunak dan Semporna sebelum berlaku penculikan nelayan dari Kapal Dwijaya," katanya.
Menurutnya seramai 18 individu ditahan serta 16 bot pam dirampas dalam serbuan yang dilaksanakan bersama Polis Kontinjen Sabah itu.
Dalam pada itu, Hazani bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri supaya semua bot pam didaftarkan  dan diberi warna mengikut zon bagi memudahkan pihak keselamatan mengenal pasti asal bot pam terbabit  semasa pemeriksaan keselamatan.
"Misalnya kita tahu bot kuning untuk Kunak, biru untuk Kudat dan ada nombor tertentu pasukan keselamatan, Jabatan Laut dan Pelabuhan Dermaga,” katanya menambah langkah itu akan memudahkan pasukan keselamatan mengenal pasti bot pam dari negara jiran.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...