Skip to main content

Mah Siew Keong rasmi letak jawatan


SEREMBAN -- Datuk Seri Mah Siew Keong mengumumkan secara rasmi perletakan jawatannya sebagai presiden Gerakan.
Mah berkata ini adalah susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen berbanding satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13.
“Tiga atau empat bulan lepas saya mendapat banyak rayuan daripada anggota parti supaya terus kekal sebagai presiden, namun saya sebagai kapten telah berjanji jika keputusan parti lebih teruk dari dahulu, maka saya akan letak jawatan.
“Saya ucap terima kasih pada semua (anggota parti) dan hari ini secara rasmi saya tidak akan teruskan (memegang jawatan) sebagai presiden,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-43 di Wisma Gerakan di sini.
Ini adalah program terakhir beliau selaku presiden parti.
Pada PRU14, Gerakan kalah kesemua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
Gerakan yang telah menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 23 Jun lepas, akan memiliki presiden baharu selepas ini.
“Kita akan ada pemimpin baharu. Saya telah mengetuai parti Gerakan dan mesti ambil tanggungjawab walaupun ramai yang kata ini bukan salah kita, tetapi sebagai presiden mesti ambil tanggungjawab,” katanya.
Mah berkata Gerakan yang kini dalam proses pemilihan parti perlu mengekalkan pemimpin lama dan digabungkan sekali dengan yang baharu bagi memastikan ia dapat dibangunkan semula.
“Sesuatu parti, kita tak boleh (letakkan semua pemimpin) yang baharu, sesetengah daripadanya perlu kekal hingga kita bangun semula tetapi presiden tak boleh,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...