Skip to main content

Mahkamah Syariah perlu berhikmah membuat keputusan


PUTRAJAYA -- Mahkamah Syariah dinasihatkan agar berhikmah dalam mengambil kira fakta kes dan faktor yang relevan dengan sesuatu kes melalui kuasa dan budi bicara mahkamah sebelum membuat apa-apa keputusan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata ia bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat tidak dilihat tergesa-gesa kerana kesannya amat besar kepada imej Islam.
Beliau berkata kerajaan persekutuan amat prihatin berhubung isu sebat terhadap dua wanita di Terengganu baru-baru ini dan saranan dibuat tidak bertujuan untuk mempertikai dan mempersoal kewibawaan Mahkamah Syariah.
"Berdasarkan pemerhatian dan beberapa petunjuk, kami mendapati terdapat perkara yang perlu diketengahkan dan diberi perhatian oleh semua pihak sebagai pengajaran penting agar kerahmatan Islam dapat dipelihara.
"Pelaksanaan hukuman sebat itu sememangnya memberi kesan yang mendalam bukan saja kepada pesalah tetapi kepada keluarga, masyarakat dan juga persepsi terhadap pelaksanaan hukuman syariah di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mujahid berkata perkara itu wajar diberi pertimbangan oleh Mahkamah Syariah kerana ia institusi yang mewakili perundangan Islam
"Bagi kesalahan kali pertama contohnya, serta pengakuan bersalah dan tahap pengetahuan atau pendidikan pelaku perlu diambil kira dalam menentukan bentuk hukuman yang selayaknya. 
"Aspek faktor mitigasi dalam penghakiman perlu diambil kira bagi memberi keadilan kepada pesalah sebelum sesuatu hukuman diputuskan," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kabinet memutuskan hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu itu tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.
Menurut Mahathir, kes itu adalah yang pertama bagi dua wanita berkenaan, justeru biasanya mereka perlu diberikan nasihat dan tidak terus dihukum sebat sehingga diketahui seluruh negara dengan jemaah menteri berpendapat pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu yang mana dalam Islam, hukuman yang lebih ringan boleh dijatuhkan.
Dalam kes melibatkan dua wanita itu, Mujahid berkata pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka ialah percubaan melakukan musahaqah sedangkan perlakuan sebenar masih belum dibuktikan.
Beliau berkata timbul kekeliruan bahawa tindakan sebat di khalayak ramai bersandarkan kepada pihak berkuasa yang dikaitkan dengan kes hudud sedangkan hukuman sebat tersebut hanyalah hukuman ta’zir yang tidak mewajibkan penyaksian awam.
Sewajarnya pertimbangan terhadap hukuman perlu dilakukan secara berhikmah dan penuh rahmah serta bersifat mendidik, apatah lagi pelaksanaan sebatan di khalayak ramai turut menimbulkan polemik, katanya.
Mujahid berkata banyak prinsip Maqasid Syariah yang perlu difahami bagi meletakkan keadilan dalam melaksanakan hukum syariah dalam masyarakat kerana gambaran yang jelas dalam menentukan Maqasid Syariah penting agar tidak menampakkan undang-undang syariah menjadi beban kepada mana-mana pihak.
Beliau berkata tujuan utama hukuman ta’zir adalah untuk pencegahan, kesedaran dan pengajaran dalam diri pelaku seterusnya dengan rela hati menjauhkan diri dari perbuatan yang dilarang, bukannya meninggalkan aib di sepanjang hidup.
Bagaimanapun, sebagai pemerintah kerajaan Persekutuan akan sentiasa bersama-sama dengan semua kerajaan negeri untuk memperhalusi dan menambahbaik sistem kehakiman sedia ada agar sebarang kelemahan dapat diatasi melalui pendekatan yang lebih strategik berdasarkan Maqasid Syariah supaya sifat rahmatan lil ‘alamin dapat dilaksanakan dalam sistem pentadbiran negara secara berhikmah, katanya.
Isnin lepas, dua wanita berusia 32 dan 22 tahun dijatuhkan hukuman rotan enam kali oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas kesalahan cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun pada 8 April lalu.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...