Skip to main content

Najib perlu jawab mengapa RM16 billion tidak dibayar balik


PUTRAJAYA -- Sebanyak RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik tetap hilang daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah atau sistem akruan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang disahkan Jabatan Akauntan Negara yang juga menggunakan sistem perakaunan tunai terubah, menunjukkan baki kredit yang belum dibayar balik kepada pembayar cukai adalah berjumlah RM16.046 bilion setakat 31 Mei, 2018.
“Keadaan begitu serius apabila Ketua Pengarah LHDN ada menulis surat secara rasmi kepada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pada 2016, untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan kepada TBBC, tetapi tidak diambil peduli olehnya," katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, sebanyak 1.65 juta individu dan syarikat tidak menerima bayaran balik cukai berjumlah RM16 bilion sejak lebih enam tahun lepas.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Menteri Kewangan, menerusi catatan di laman Facebook beliau semalam berkata Lim tidak memahami bahawa kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah dan bukan standard perakaunan akruan sebagaimana digunakan di sektor swasta.
Menurut Najib, Lim membuat kesimpulan yang salah kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu telah tersalah lapor cukai yang belum dikembalikan sebagai pendapatan dan menuduh kerajaan BN sebagai memalsukan akaun.
Menjelas lanjut, Lim berkata tunggakan besar bayaran balik sebanyak RM16 bilion, sehingga melebihi enam tahun itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh Mohd Irwan Serigar, tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dipohon oleh LHDN.
"TBBC adalah akaun amanah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 111B Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi tujuan penyaluran peruntukan daripada Akaun Wang Yang Disatukan, untuk pembayaran balik cukai. 
"Perlu ditegaskan bahawa di bawah Seksyen 111B(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, hanya Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkenaan jumlah peruntukan yang disalurkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan ke TBBC," katanya.
Lim berkata, soalan penting yang harus dijawab oleh Najib adalah mengapa bekas perdana menteri itu membenarkan RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik itu, untuk tidak dikembalikan kepada 1.65 juta pembayar cukai dalam masa yang ditetapkan mengikut undang-undang. 
"Bukan sahaja pihak polis yang kini menjalankan siasatan 'pecah amanah' di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berminat terhadap perkara ini, tetapi rakyat juga ingin tahu jawapan kepada perkara berkepentingan awam ini," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...