Skip to main content

PD Move adalah salah


SEREMBAN -- Empat hari menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson, bayangan semakin jelas dilihat bahawa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menelusuri jalan mudah mencatat kemenangan tanpa bertanding.   
Kemungkinan besar PRK ini, yang kali keempat diadakan selepas tiga PRK membabitkan Dewan Undangan Negeri di Selangor iaitu Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, akan menyaksikan pertandingan lima penjuru.
Setakat ini beberapa pihak lain iaitu dua parti dan dua individu perseorangan sebelum ini menyatakan hasrat dan minat untuk mengambil bahagian selain Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR.
Parti Rakyat Malaysia (PRM), calon Bebas Stevie Chan Keng Leong dan bekas setiausaha agung MIC Datuk S. Kumar sudah menyatakan hasrat masing-masing sekali gus menyampaikan mesej akan wujud pertandingan bagi kerusi Parlimen itu yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Kemang, sebelum persempadanan semula dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PAS pula, menerusi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 15 Sept lepas, dipetik sebagai berkata parti itu sedia bertanding pada PRK tersebut sekiranya tiada parti lain yang ingin bertanding dalam usaha memastikan Anwar tidak mendapat kemenangan percuma.
Alasan BN memboikot PRK berkenaan ialah cara pengosongan kerusi Port Dickson yang tidak demokratik selain selepas perbincangan dengan parti komponen iaitu MCA dan MIC.
Presiden PRM Mohd Hashim Saaludin pada Jumaat lepas pula dilapor sebagai berkata penyertaan parti itu adalah untuk membangkitkan isu rakyat dan mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menunaikan janji-janji manifesto.
Pada PRK Sungai Kandis lepas, PRM juga mengumumkan untuk bertanding, namun menarik diri pada saat akhir walaupun calonnya Ahmad Kamaruddin sudah tiba di Dewan Besar Tanjung Seksyen 19 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk penamaan calon.
Kumar yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, Pahang di bawah tiket PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun tewas, bertanding untuk memperjuangkan hak kaum India. 
Sementara Chan, seorang personaliti media sosial pula bertanding disebabkan rasa kecewa dengan kelewatan perubahan yang dijanjikan PH sebelum ini selain mendakwa PRK itu diadakan untuk memenuhi cita-cita dan impian seseorang individu serta menyifatkan ‘Langkah PD' adalah salah, lapor Bernama.
Menurutnya ia adalah kerana PRK ini adalah satu ‘paksaan’ tidak ada keperluan mendesak, masa yang tidak sesuai dan rakyat mahu melihat wakil dipilih mereka melaksanakan agenda perubahan serta kerusi yang patut dikosongkan ialah milik anak Anwar, Nurul Izzah di Permatang Pauh atau isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pandan. 
 Dr Wan Azizah ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. 
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Okt dan hari penamaan calon pada 29 Sept manakala hari pengundian awal pada 9 Okt. 
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU14 Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. 
Parlimen Port Dickson yang memiliki sejumlah 75,770 pengundi dengan 68,486 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara, merupakan kerusi tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen PH di Negeri Sembilan.
Parlimen Port Dickson yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 mempunyai lima kerusi DUN iaitu Chuah dan Lukut dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (dahulu Port Dickson) (PKR).

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...