Skip to main content

Pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM tidak sesuai


KUALA LUMPUR -- Pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dianggap tidak sesuai memandangkan beliau kini memegang portfolio dalam Kabinet.
Bekas Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim berkata sekiranya Maszlee terus memegang jawatan itu, dikhuatiri pandangan dan keputusan beliau melibatkan kepentingan universiti berkenaan  selepas ini akan dianggap berat sebelah. 
“Kita bimbang 20 universiti tempatan lain akan mempersoal sekiranya UIAM dapat pandangan menteri, kami bagaimana? Jadi soal berat sebelah walaupun beliau tidak akan melakukannya, tetap akan timbul dan boleh dipertikaikan,” katanya kepada Bernama. 
Rais turut mempersoal sama ada pelantikan tersebut telah dibincangkan dalam Kabinet dan mendapat kelulusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, terlebih dahulu.
“Kalau belum (dibincangkan) itu satu kealpaan yang harus diatasi kerana Menteri Pendidikan sepatutnya tidak menyertai tahap atau peringkat itu kerana jawatan beliau lebih tinggi. Bagaimanapun biarlah Perdana Menteri menentukan dan ambillah orang yang boleh mengendalikan UIAM ke arah lebih cemerlang,” katanya. 
Sementara itu, Rais yang juga Pengerusi Yayasan Budi menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan oleh Raja-Raja Melayu kerana membolehkan institusi diraja mendengar pandangan dan cadangan rakyat berhubung isu agama dengan lebih terperinci dan telus. 
“Saya positif penubuhan jawatankuasa ini kerana anggota yang mempunyai pelbagai pengalaman boleh menasihati mengenai undang-undang, tradisi dan adat serta menjadi penghubung rakyat kepada raja dengan memberi maklum balas kepada raja masing-masing mengikut kefahaman sepatutnya. 
“Tinggal sahaja kepada peringkat diraja bagi menerima gelombang perubahan dan pandangan rakyat untuk membawa perubahan negara ke arah lebih baik,” katanya. 
Pada 9 Ogos lepas, tujuh anggota jawatankuasa tertinggi itu menerima watikah pelantikan yang dianggotai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebagai Pengerusi; Felo di Oxford Centre for Islamic Studies Datuk Dr Afifi al-Akiti sebagai Timbalan; dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebagai Setiausaha jawatankuasa berkenaan.
Jawatankuasa itu juga terdiri daripada bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan; bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Dua wakil tambahan dari Sabah dan Sarawak turut menganggotai jawatankuasa berkenaan - Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar dan Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Elektrik) Dr Abdul Rahman Junaidi.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...