Skip to main content

Perkahwinan bawah umur perlu ikut SOP yang ketat


KUALA LUMPUR -- Hakim mahkamah syariah yang mengendalikan atau menerima kes perkahwinan bawah umur diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan dalam Persidangan Hakim-Hakim Syarie dua bulan lalu.  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata garis panduan bagi rujukan hakim syarie itu telah dikeluarkan selepas kes perkahwinan kanak-kanak berumur 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Gua Musang, Kelantan pada Jun yang mengejutkan seluruh negara.
"Tujuan utama adalah untuk memperketatkan (prosedur) sedia ada berkaitan perkahwinan bawah umur namun setakat ini, hanya Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengikutinya.
“Perkahwinan membabitkan remaja perempuan berumur 15 tahun di Tumpat, Kelantan baru-baru ini  berlaku kerana hakim yang ditugaskan belum mengikuti SOP yang diluluskan," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1440H Peringkat Wilayah Persekutuan, lapor Bernama.
Menurut Mujahid antara prosedur yang ditetapkan ialah ibu bapa perlu mendaftarkan permohonan untuk mengahwinkan anak di bawah umur dan pemeriksaan latar belakang keluarga termasuk penilaian psikologi dan kesihatan serta kewangan akan dilakukan.
Selepas itu, barulah hakim syarie akan membuat keputusan namun garis panduan itu secara jelas menetapkan faktor kemiskinan tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan perkahwinan bawah umur, tegas Mujahid. 
"Kita juga dalam pertimbangan untuk menetapkan had umur setara antara lelaki dan perempuan iaitu 18 tahun bagi kebenaran perkahwinan bawah umur," ujarnya.  
Baru-baru ini media melaporkan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di Tumpat, Kelantan  berkahwin dengan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berusia 44 tahun, yang merupakan kes kedua selepas kes perkahwinan membabitkan bawah umur di Gua Musang pada Jun lalu.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...