Skip to main content

Port Dickson perlukan perhatian yang lebih


PORT DICKSON -- Masyarakat di kawasan Parlimen Port Dickson mengharapkan pengalaman yang ada pada Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu melonjakkan ekonomi kawasan itu, sekali gus menjadikannya destinasi pelancongan terkemuka negara.
Mereka tata-rata melahirkan keyakinan bahawa Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR mampu membawa perubahan besar yang lebih moden kepada Port Dickson.
Kata mereka kawasan berkenaan meskipun terkenal sebagai destinasi pelancongan, infrastruktur yang sedia ada tidak mampu melonjakkan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan pilihan bertaraf dunia.
"Perlu ada penambahbaikan dari segi kemudahannya, kesihatannya, akses jalan raya dan bangunan sedia ada perlu dinaik taraf bagi menarik lebih ramai pelancong. 
"Apabila pelancong ramai, barulah industri pelancongan termasuk industri desa dapat dikembangkan dan memberi pendapatan lebih kepada masyarakat setempat. Apa guna kita bercakap mengenai industri pelancongan dalam masa yang sama kemudahan sedia ada masih ditakuk yang lama dan tiada perubahan," kata Koh Sing Nan, 53.

Menyifatkan pilihan Anwar yang memilih Port Dickson sebagai tepat, Koh yang merupakan penternak ayam yakin wajah kawasan itu bakal turut berubah memandangkan Anwar juga bakal menjadi perdana menteri kelapan.
"Selain itu saya harap Datuk Seri Anwar boleh memberikan lesen kepada masyarakat Cina untuk menjadi nelayan...ramai yang menyatakan minat tetapi tak dapat lesen," katanya.
Peniaga pakaian, Suzana Jantan, 52, pula mengharapkan agar Port Dickson lebih maju setanding dengan kawasan lain.
"Saya mengharapkan lebih banyak pembangunan di daerah ini malah jika tidak keterlaluan saya nak mencadangkan Datuk Seri supaya diwujudkan RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) bagi kemudahan masyarakat dan pelancong di sini," katanya.
Penduduk tempatan, Razali Abu, 60, berkata peluang Anwar amat cerah di Parlimen Port Dickson memandangkan beliau merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman, berkredibiliti serta mempunyai perwatakan yang amat disenangi masyarakat.
Nelayan, Mohd Hasin Abd Razak, 64, pula mahu wakil rakyat yang dipilih nanti mampu menyelesaikan permasalahan perumahan golongan nelayan.
"Kebanyakan nelayan ini tiada tempat tinggal dan hanya menyewa serta menumpang teduh di rumah ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa.
"Masalah ini telah lama berlarutan dan saya harap sekiranya Anwar dipilih, beliau mampu menyelesaikan isu ini," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson (nama asal Teluk Kemang) diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, melepaskan jawatan wakil rakyat kawasan itu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding sebagai persiapan untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri kelapan.
Parlimen Port Dickson yang memiliki sejumlah 75, 381 pengundi mengikut daftar pemilih semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakab kerusi tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.
Parlimen Port Dickson yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) dan Sri Tanjung (nama asal Port Dickson) (PKR).
Pada PRU14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan dengan majoriti 17, 710 undi. -- Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...