Skip to main content

Pusat tahfiz diperintah bayar RM4.3 juta kepada bekas pelajar


KOTA BHARU -- Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini memerintahkan Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang, Kuala Krai  membayar sejumlah RM4,334,507 kepada bekas pelajarnya yang terbabit dalam kemalangan van pada Jun tahun lepas.

Dalam keputusannya, Hakim Nazri Ismail berkata tiga daripada empat defendan iaitu Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 25, yang juga pemandu van, CT-One Corporation Sdn Bhd dan Maahad Tahfiz Al-Hashimi, bertanggungjawab secara vikarius, untuk membayar kos tersebut kepada Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 18, dan ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 46, selepas mangsa hilang upaya akibat kemalangan tersebut.

Pengetua maahad tahfiz itu, Mohd Khalidi Che Haron yang dinamakan sebagai defendan ketiga, tidak diperintahkan membayar kos berkenaan.

Kos itu membabitkan ganti rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang cedera kepala dan retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh seumur hidup serta bagi pembelian lampin pakai buang, tiub makanan, beg kencing, katil, tilam dan jururawat persendirian.


Plaintif diwakili peguam R. Kameswary dan Mazlinda Mahmud manakala defendan diwakili Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman. Bagaimanapun peguam defendan tidak hadir ketika mahkamah membacakan keputusan pada Ahad, lapor Bernama.

Sementara itu, Kameswary ketika ditemui pemberita berkata plantif memulakan tuntutan pada April lepas dan proses perbicaraan memakan masa selama dua hari dengan empat saksi dipanggil termasuk pengasas maahad tahfiz berkenaan, Datuk Adnan Hashim, 

"Semakan mendapati van yang dinaiki mangsa tidak mempunyai insurans terhadap pelajar-pelajarnya dan pada hari kejadian telah dipandu oleh pemandu yang tidak mempunyai lesen kenderaan.

"Justeru, mahkamah memutuskan defendan pertama iaitu pemandu van, defendan kedua iaitu pemilik van (CT-One Corporation Sdn Bhd) dan defendan keempat, Maahad Tahfiz Al-Hashimi perlu bertanggungjawab 100 peratus terhadap kecederaan yang dialami mangsa," katanya.

Jun tahun lepas, tujuh daripada 12 pelajar tahfiz termasuk seorang berasal dari Thailand, terbunuh dengan lima daripadanya maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Krai.

Dua belas pelajar maahad tahfiz berkenaan yang dalam perjalanan untuk menghadiri program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu di sini, berdepan saat mengerikan apabila van yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah rumah di Km55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...