Skip to main content

Rafizi diperintah bela diri kes tohmahan terhadap TH


KUALA LUMPUR -- Mahkamah Majistret di sini pada Selasa memerintahkan Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli membela diri terhadap tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji, dua tahun lalu.
Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan, yang telah memanggil tiga saksi sepanjang perbicaraan bermula 22 Ogos tahun lepas, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Rafizi, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS), di akhir kes pendakwaan.
“Mahkamah telah mendengar, membaca dan meneliti keterangan saksi pendakwaan, mengambil kira kesemua aspek secara maksima, mahkamah dengan ini mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan satu kes prima facie dan mahkamah memanggil OKS untuk membela diri,” katanya.
Umzarul An-Nur kemudian menetapkan tiga hari bermula 27 sehingga 29 November untuk bekas Anggota Parlimen Pandan itu membela diri. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli manakala Mohd Rafizi diwakili Peguam Nik Zarith Nik Moustpha.
Pada 8 April 2016 Mohd Rafizi, mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada 9 pagi, 18 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu Nik Zarith ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya dijangka memanggil tiga saksi pembelaan dalam prosiding kes itu,
Mohd Rafizi ketika ditemui di luar mahkamah menyifatkan keputusan mahkamah untuk memanggilnya membela diri menjadi ruang kepadanya untuk membuktikan kes yang dihadapinya bukan kes fitnah.
“Itu proses biasa (bela diri). Saya tak pernah ada kes (di mahkamah) yang tidak dipanggil membela diri. Saksi-saksi yang kami ada insya-Allah akan berjaya membuktikan kes ini bukan satu kes fitnah,” katanya. -- Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...