Skip to main content

Saman Guan Eng terhadap Utusan selesai


GEORGE TOWN -- Kes saman fitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap Utusan Malaysia (M) Bhd hari ini selesai selepas Pengarang Rencana dan Analisis syarikat akhbar itu Zulkifli Jalil memohon maaf kepadanya berhubung penerbitan satu artikel pada tahun 2015.
Zulkifli dalam penyataan maafnya berkata beliau juga berasa kesal terhadap penerbitan artikel itu dan menarik balik artikel bertajuk 'Pengundi Atas Pagar Jadi Penentu?' yang diterbitkan akhbar itu pada 10 April 2015.
"Utusan Malaysia secara tulus ikhlas memohon maaf kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Lim Guan Eng atas kesilapan tersebut yang tidak disengajakan itu atas apa jua kesusahan dan pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Lim Guan Eng ekoran daripada penerbitan artikel berkenaan.
"Utusan Malaysia juga berakujanji untuk tidak menerbitkan atau menyebabkan penerbitan perkataan-perkataan atau perkara serupa yang dinyatakan di dalam artikel tersebut," katanya.
Beliau membacakan penyataan maaf itu di dalam mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop yang turut dihadiri peguamnya Datuk M Reza Hassan dan Lim bersama peguamnya Datuk N. Mureli.
Lim kemudiannya menerima penyataan maaf itu dan peguamnya Mureli memohon mahkamah menetapkan perintah kos dan ganti rugi terhadap anak guamnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Okt untuk penyerahan hujahan bertulis mengenai kos dan ganti rugi itu serta 23 Okt ini bagi menentukan jumlah kos dan ganti rugi yang perlu dibayar kepada plaintif.
Selepas selesai prosiding, Lim yang juga Menteri Kewangan ketika ditemui pemberita berkata hari ini sepatutnya untuk perbicaraan kes itu, bagaimanapun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu.
Katanya beliau berasa gembira kerana dapat membersihkan namanya daripada fitnah jahat dan penipuan oleh syarikat akhbar berkenaan yang mendakwa beliau campur tangan dalam tanah wakaf di Pulau Pinang ketika memegang jawatan sebagai ketua menteri.
"Tentu ini adalah usaha untuk memainkan sentimen bahaya untuk menyemarakkan sentimen kebencian terhadap saya sebagai seorang bukan Islam dengan memainkan sentimen bahawa saya campur tangan dalam hal ehwal agama Islam sedangkan saya tidak pernah berbuat demikian.
"Ini adalah satu kenyataan palsu yang diusahakan oleh pihak Utusan Malaysia dan sekarang dibuktikan mahkamah adalah palsu," katanya.
Lim berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sama sekiranya ada pihak yang masih memainkan sentimen perkauman dan ekstremisme terhadapanya.
Lim memfailkan saman itu pada 10 Sept 2015 terhadap Utusan Malaysia sebagai defendan pertama dan Zulkifli sebagai defendan kedua, mendakwa defendan telah menerbitkan satu artikel bertajuk 'Pengundi Atas Pagar Jadi Penentu?', pada 10 April 2015.
Dalam kenyataan tuntutannya, Lim mendakwa artikel berkenaan mengandungi kenyataan fitnah, palsu dan berniat jahat terhadapnya kerana mendakwa plaintif campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang berhubung isu tanah wakaf. -- Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...