PETALING JAYA -- Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengendurkan ketegangan persaingan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli yang bertanding untuk jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti.
Azmin dan Rafizi membuat penampilan bersama pada sidang media di ibu pejabat parti itu yang diadakan untuk mengumumkan secara rasmi Anwar sebagai calon Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Okt ini.
Selepas menjawab beberapa soalan dalam sidang media itu, Anwar lalu bergurau dengan wartawan dengan bertanya mengapa mereka tidak menanyakan soalan berhubung Azmin dan Rafizi.
"Soalan mengenai Azmin dan Rafizi ‘you all’ (kamu semua) tidak tanya pula hari ini, masa mereka berdua tidak duduk sekali, hari-hari soalan itu ditanya kepada saya, sampai di Singapura semalam pun ditanya.
"’You all’ ni tidak suka mereka nampak berbaik, betul tak? Nak mereka nampak bergaduh sahaja," katanya yang disambut gelak ketawa mereka yang hadir.
Sidang media itu turut dihadiri presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa anggota Parlimen parti itu.
Persaingan antara Mohamad Azmin dan Rafizi bagi merebut jawatan nombor dua parti itu sebelum ini mencetuskan pelbagai andaian mengenai hubungan mereka, malah kedua-dua pemimpin itu juga dilaporkan mewujudkan kem masing-masing untuk pemilihan tersebut.
Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam pemilihan kali ini, sebelum ini telah menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk berpihak kepada mana-mana kem antara Mohamad Azmin dan Rafizi.
PKR akan menjalankan pemilihan secara berperingkat bermula esok hingga 28 Okt bagi memilih wakil Majlis Kepimpinan Pusat iaitu timbalan presiden, naib presiden, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketua Wanita dan ahli majlis pimpinan pusat serta pemimpin cabang.
Comments
Post a Comment