Skip to main content

Status rakan sekutu untuk Sabah dan Sarawak


KOTA KINABALU -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan melalui Malaysia Baharu akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa negara terbentuk 55 tahun lalu.
Katanya, status Sabah dan Sarawak, yang berubah daripada rakan sekutu kepada negeri-negeri dalam Malaysia, yang akan dikembalikan itu adalah sebahagian daripada proses dilaksana setelah kajian MA63 disiapkan.
“Pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana dalam MA63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).
“Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah mundur dan kelengkapan yang amat daif.
“Kajian MA63 pastinya akan menimbulkan keperluan penilaian semula beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2018.
Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2018 serta anggota kabinet Persekutuan dan negeri.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berharap apa sahaja penilaian semula dilakukan terhadap amalan-amalan di bawah MA63 perlulah dilakukan di dalam semangat setiakawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi.
Katanya, tanpa semangat dan sikap seperti itu kesatuan Malaysia sebagai satu negara dan bangsa akan terhakis selain keindahan yang dikecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang.
Katanya, bagi kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, ia pasti tidak akan melupakan tanggungjawabnya kepada Sabah dan Sarawak dan akan mencari jalan untuk memajukan infrastruktur yang akan dilaksana mengikut kehendak dan keperluan rakyat di negeri berkenaan.
“Di masa yang sama, saya yakin, hubungan antara rakyat yang terjalin begitu lama pasti menyedarkan kita betapa perlunya terdapat semangat “reciprocity” atau timbal balik di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Atas semangat ini, pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak pastinya sedar ada di antara negeri-negeri di Semenanjung yang juga masih serba kekurangan dan memerlukan bantuan berterusan dari kerajaan,” katanya.
Dr Mahathir yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan atau “encumberances”.
Beliau percaya keadaan itu  telah berjaya mengeratkan hubungan sesama penduduk Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakyat Malaysia.
“Keakraban yang terbina inilah yang telah membantu Malaysia kekal walaupun ada ketikanya timbul perbezaan pendapat di antara pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga wilayah ini,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...