Skip to main content

Tiada kemudahan atau jentera kerajaan dalam PRK Port Dickson


PETALING JAYA -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson,  Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada kemudahan atau jentera kerajaan yang akan digunakan sepanjang kempen beliau pada PRK itu.
Ketua Umum PKR itu berkata keputusan itu penting untuk memberi isyarat kepada  rakyat bahawa  PH bertanding dalam PRK itu secara bersih dan telus.
“Kami ada timbalan perdana menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), menteri hal ehwal ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (Datuk Saifuddin Nasution Ismail), beberapa menteri dan timbalan menteri dalam parti kami dan saya telah nyatakan dengan jelas bahawa saya tidak mahu sebarang kemudahan atau jentera kerajaan digunakan dalam pilihan raya kecil ini.
“Sebenarnya, saya dimaklumkan oleh Saifuddin bahawa terdapat satu program yang dirancang sebelum ini oleh kementeriannya dan jatuh pada tempoh berkempen.
“Bagaimanapun mereka membuat keputusan untuk menangguhkan program itu kerana kami tidak mahu dilihat sebagai menggunakan kemudahan kerajaan untuk berkempen dan ini adalah isyarat yang penting kepada rakyat,” katanya dalam sidang media, lapor Bernama.
Anwar hari ini diumumkan secara rasmi sebagai calon untuk pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 13 Okt depan.
Pengumuman dibuat oleh presiden PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media sama  yang turut disertai pimpinan tertinggi parti termasuk dua calon timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.
Menjelaskan lebih lanjut tentang PRK itu, Anwar berkata PH tidak akan mengambil mudah PRK itu sungguhpun banyak pihak yang beranggapan Parlimen Port Dickson adalah kubu kuat PKR.
“Kami perlu merayu kepada pengundi, kami mesti perjelaskan kedudukan kami, kami mesti dapatkan sokongan mereka,” katanya.
Ditanya mengenai sokongan anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz terhadapnya bagi pilihan raya itu, Anwar berkata beliau menghargainya.
Katanya, sebagai calon beliau tidak mahu dilihat angkuh dengan menolak sokongan mana-mana pihak termasuk daripada parti pembangkang.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Port Dickson diadakan pada 13 Okt, manakala hari penamaan calon pada 29 Sept dan hari mengundi awal pula pada 9 Okt.
PRK itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...