Skip to main content

UMNO berlepas tangan daripada PRK Port Dickson


KUALA LUMPUR -- Barisan Nasional (BN) akan memboikot serta tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC.

Katanya tindakan memboikot itu dilakukan kerana BN menganggap kerusi Parlimen berkenaan  dikosongkan semata-mata bagi memenuhi cita-cita politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Sesuatu PRK itu diadakan untuk terjemahkan erti demokrasi bagi memenuhi kerusi setelah  kematian berlaku, maka tentu kita mahu lihat bahawa penyertaan dalam menterjemah proses demokrasi itu harus berjalan.

“Tetapi jika kerusi itu dikosongkan bukan atas sebab kematian, maka pertimbangan harus dilakukan BN,”  katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato’ Onn.

Ahmad Zahid berkata peruntukan bagi PRK berkenaan seharusnya disalurkan kepada rakyat memandangkan kerajaan dikatakan dihimpit masalah kewangan.
Ditanya sama ada UMNO akan membantu PAS sekiranya parti itu meletakkan calon, Ahmad Zahid berkata kedua-dua parti tidak mempunyai rundingan muktamad untuk bekerjasama dalam hal itu.
“Kita tidak ada sebarang rundingan secara muktamad tetapi ia berdasarkan ‘case to case basis’ dan ‘event to event basis’ seperti di PRK Sungai Kandis atau di Seri Setia,” katanya.
Katanya parti itu juga tidak akan menyokong atau membantu mana-mana calon bebas yang bertanding pada pilihan raya berkenaan, lapor Bernama.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Okt depan manakala hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini dan pengundian awal 9 Okt.
Sementara itu ditanya mengenai keputusan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang keluar parti hari ini, Ahmad Zahid menjawab ringkas: “selamat berjaya”.
Mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung kerjasama UMNO dengan PAS, beliau berkata ia merupakan kerjasama antara parti pembangkang, dan bukannya untuk mewujudkan satu gabungan.


Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...