KUALA LUMPUR -- Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang
dilakukan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ke atas 800 daripada 1,500 kakitangannya adalah tidak
ikhlas, tidak jujur dan cukup mencurigakan, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).
NUJ dalam satu kenyataan berkata tawaran itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang,
mendapatkan pandangan dan input daripada NUJ.
“Kami hanya dimaklumkan cara dan formula pelaksanaan dan penyelesaiannya sejam
sebelum ia diumumkan kepada semua pekerja menerusi satu taklimat semalam (Jumaat 21
Sept 2018).
“VSS yang ditawarkan faedahnya adalah lebih rendah daripada skim pilihan terakhir yakni
pembuangan pekerja (retrenchment) yang terkandung dalam perjanjian bersama kami,” kata NUJ.
NUJ menegaskan, seharusnya, sebagai skim pertama, tawaran itu mestilah lebih baik.
Justeru, NUJ berpendapat, adalah lebih bagus jika ahli kesatuan menunggu pembuangan
pekerja dibuat berbanding menerima VSS yang ditawarkan ketika ini.
Kesatuan turut mempertikaikan kemampuan syarikat untuk membayar penyelesaian VSS ini
yang sudah tentu cukup mencurigakan kerana mereka menjanjikan sebulan gaji dengan tahun
berkhidmat tanpa mempunyai dana yang sudah sedia ada.
“Maknanya Utusan belum mempunyai wang dan masih perlu mencari ketika menawarkannya
tanpa menunjukkan dengan jelas bukti meyakinkan dari mana mereka boleh memperolehnya.
“Pembayaran pula dibuat bukan secara sekaligus (lump-sum) tetapi secara ansuran bulanan
yang mengambil masa selama setahun untuk diselesaikan. Secara prinsipnya ia sudah lari daripada
amalan biasa VSS dan memberi risiko besar kepada ahli kami,” kata NUJ.
Justeru, NUJ mendesak UMNO sebagai pemegang saham terbesar menilai kembali
keputusan yang dibuat Pengerusi Eksekutif Datuk Aziz Sheikh Fadzir dan melepaskan pegangan
sahamnya jika tidak mampu membela pekerja.
“Apa gunanya UMNO melaungkan semangat untuk membela nasib orang Melayu selama ini
sedangkan pekerja Melayu di syarikatnya sendiri tidak terbela nasibnya.
“Jika ini gagal dilakukan, NUJ buat kesekian kalinya meminta agar UMNO melepaskan
pegangan sahamnya demi survival akhbar yang cukup bersejarah ini dan kakitangan yang banyak
berjasa yang bernaung di bawahnya,” tambahnya.
Comments
Post a Comment