Skip to main content

Wan Azizah akan letak jawatan - Anwar


JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri  selepas dia dilantik menjadi Perdana Menteri. 

Ketua Umum PKR itu berkata sekarang belum masanya Dr Wan Azizah meletakkan jawatannya  dalam kabinet.

“Kenapa Wan Azizah tidak letak jawatan? Kalau Dr Wan Azizah letak jawatan, nanti hilanglah  jawatan Timbalan Perdana Menteri dari PKR.

“(Dan) saya juga sudah beritahu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri), kalau saya menang (kerusi Parlimen Port Dickson), saya tidak mahu masuk kerajaan sekarang, saya nak bagi laluan kepada Dr Mahathir untuk menggalas tanggungjawab dia sehingga giliran saya.

  “Jadi sabarlah, saya dilantik, Dr Wan Azizah akan letak (jawatan TPM). Bila? Bila giliran saya jadi PM. Tak payah orang sibuk dari awal, suruh dia (Dr Wan Azizah) letak (jawatan). Ini yang berlaku dalam negara tapi sabarlah. Orang bangkitkan (tentang perkara ini), saya jelaskan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 anggota PKR dalam program Bicara Maal Hijrah bertajuk “Hijrah ke Arah Malaysia Baharu” di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, lapor Bernama.

Hari ini, sebuah pertubuhan veteran tentera dilaporkan memberi amaran kepada Anwar agar tidak mewujudkan dinasti keluarga di Parlimen, sebaliknya pemimpin PKR itu seharusnya meminta isterinya, Dr Wan Azizah atau anak perempuannya, Nurul Izzah mengosongkan kerusi Parlimen mereka.

Persatuan Patriot Nasional (Patriot) dilaporkan sebagai berkata keluarga itu berkemungkinan  dituduh  nepotisme jika Anwar berjaya ke parlimen.

Anwar, 71, yang bakal memegang jawatan Presiden PKR secara rasmi November ini, diumumkan  akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson setelah penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, dua hari lepas (Rabu).

Sementara itu, Anwar turut mengakui letih untuk menjawab soalan mengenai perhubungannya dengan Dr Mahathir.

“Ya , satu dunia tahu saya musuh dia. Satu dunia tahu memang kita geng kuat (ketika dalam kerajaan dahulu). Bila bergaduh paling sengit, perang habis-habisan, sekarang kita berdamai. Patut semua sokong. 

“Saya dan Dr Mahathir berdamai supaya apa yang berlaku dulu akan dihentikan. Kita rasakan dengan gandingan kekuatan baru ini, kita boleh tumbangkan kerajaan Barisan Nasional,” kata beliau.

Anwar juga berkata pemilihan parti pada November ini penting  terutamanya dalam  memastikan  idealime perjuangan parti terus dipegang oleh anggotanya, selain  memastikan  anggotanya boleh bekerja sebagai satu pasukan dan tetap setia dengan perjuangan parti.

“Sebab itu, pemilihan parti ini penting. Jangan saya (sudah) berdamai dengan Dr Mahathir (tetapi) ada pula bunyi, suara-suara sumbang dalam parti. Orang hormat parti kita sebab parti kita terkuat dan terbesar.  Jika beri pendapat boleh, tapi kena ikut ruang betul,” kata beliau.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...