Skip to main content

Zakaria hanya harap tinggalkan FGV secara baik


KUALA LUMPUR -- Setelah berkhidmat dengan kumpulan Felda selama 35 tahun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Zakaria Arshad, berharap dapat meninggalkan syarikat itu secara baik.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku berikutan pengumuman baru-baru ini oleh lembaga pengarah untuk menggantungnya daripada jawatan terbabit mulai Rabu lepas.

FGV dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata, notis siasatan telah dikeluarkan kepada Zakaria berikutan selesainya siasatan dalaman kepada 10 isu kritikal yang mengakibatkan kerugian kewangan bagi FGV dan pemegang sahamnya.

Dilaporkan sehingga tujuh daripada isu ini berkaitan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd, bersabit pembayaran dan penyerahan barang-barang yang melibatkan pelanggan yang berpangkalan di Afghanistan, Safitex Trading LLC.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, Zakaria berkata, setakat ini, beliau akan mematuhi keputusan yang dibuat pihak pengurusan.          
"Saya tidak mahu melawan dan saya akan akur keputusan lembaga pengarah. Cuma apa yang saya minta adalah mereka pertimbangkan akan keputusan tersebut memandangkan tempoh kontrak saya yang bakal tamat pada Mac 2019, iaitu hanya beberapa bulan sahaja lagi," katanya.

Zakaria, yang merupakan anak kepada seorang peneroka Felda dari Felda Palong 1, Negeri Sembilan berkata, beliau tidak bercadang untuk kembali ke FGV selepas kontraknya tamat dan akan berehat daripada industri berkenaan.

Untuk rekod, Zakaria, 58, mengambil alih jawatan Presidendan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV pada 1 April 2016, daripada Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah.

Bagaimanapun, beliau digantung daripada tugas padaJun 2017 ketika kumpulan tersebut menyiasat dakwaan penyelewengan yang melibatkan urusan tertentu di Delima Oil Products dan ini adalah kali kedua dalam tempoh 15 bulan perkhidmatannya digantung.

Bagaimanapun, FGV beroperasi seperti biasa setelah ia menubuhkan jawatankuasa lembaga pengarah khas yang dianggotai Pengerusi, Datuk Azhar Abdul Hamid dan tiga lagi ahli lembaga pengarah; Datuk Dr Salmiah Ahmad, Dr Mohamed Nazeeb P Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping

Penggantungan tugas Zakaria dilakukan selepas Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menarik balik namanya sebagai pengarah lantikan kerajaan di syarikat pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV menyatakan, pemberhentian itu berkuat kuasa sebaik syarikat berkenaan menerima surat daripada MoF Inc, pemegang saham khas FGV pada 12 September 2018, menarik balik nama Zakaria sebagai pengarah lantikan kerajaan dalam melaksanakan perlembagaan baharu FGV, yang diluluskan oleh pemegang sahamnya pada 28 Jun 2018.

“Pemberhentian itu selaras dengan Klausa 89(3) perlembagaan baharu FGV,” kata makluman itu.

Apa pun, pemerhati industri kebingungan.

Mereka memahami pemberhentian Zakaria sebagai Pengarah FGV sebagai normal dan selaras dengan perlembagaan, bagaimanapun pengumuman penggantungan jawatan itu merupakan satu kejutan.

Mereka berkata, hanya pengerusi yang boleh mengulas berhubung tindakan yang diambil, bagaimanapun, Azhar tidak dapat dihubungi.

Beliau menjadi Pengerusi FGV selama setahun (daripada 8 September 2017).

Ditanya jika kedua-dua mereka mempunyai hubungan pekerjaan yang baik, Zakaria berkata: “Kami sebenarnya sangat rapat pada mulanya.

“Saya menghormati beliau, dengan pengalamannya yang luas dalam sektor korporat, yang mana saya tidak mendapat pendedahan yang banyak sepertinya, saya berharap kami akan dapat memanfaatkan kepakaran kami untuk kebaikan syarikat," katanya.

Zakaria juga tidak dapat memastikan jika penggantungannya dibuat kerana jawatan itu merupakan lantikan politik oleh kerajaan terdahulu.

“Saya tidak begitu pasti sama ada ia berkaitan pelantikan oleh kerajaan sebelum ini. Sememangnya, FGV adalah di bawah kerajaan semasa, jadi sudah tentu kita perlu mengikutnya, namun di luar, saya bukanlah individu yang aktif dalam politik.

“Saya kena reda kalau dah memang didapati bersalah,” katanya.

Penganalisis perladangan dari Public Investment Bank, Chong Hoe Leong berkata, adalah lebih baik sekiranya syarikat tersebut dapat menyelesaikan perkara terbabit secepat yang mungkin.

“Namun buat masa ini, saya berpendapat keadaan itu tidak akan memberi banyak kesan ke atas operasi syarikat. Ia merupakan syarikat berkaitan kerajaan, oleh itu sebarang perubahan dalam landskap politik akan memberi sedikit kesan kepada syarikat itu sendiri.

“Sudah pasti, inilah risiko yang sentiasa disedari pasaran, yang kita akan saksikan, sementara menunggu siasatan daripada pihak pengurusan atasan,” katanya.

Saham FGV merosot sejak tawaran awam awal US$3 bilion pada RM4.55 sesaham pada 2012.

Hari ini, kaunter itu ditutup pada RM1.55 sesaham dengan 2.49 juta saham diniagakan.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...