Skip to main content

Anwar 'menang' sebelum pengundian


PORT DICKSON -- Sabtu menjadi penentu kepada pertembungan tujuh penjuru Pilihan Raya Kecil (Port Dickson) namun Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat telah pun 'menang’ sebelum keputusan diumumkan.
Sumber terdekat Anwar berkata persepsi dan sokongan rakyat Port Dickson terhadap pemimpin berusia 71 tahun itu sangat positif sepanjang 12 hari berkempen dan sudah pasti boleh mengekalkan kerusi PKR di Parlimen Port Dickson atas nama gabungan Pakatan Harapan (PH) namun isunya ialah majoriti undi yang bakal diperoleh.
"Beliau seorang yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan… kalau majoritinya setakat 200 ke 300 tidak elok untuk imej beliau,” kata sumber berkenaan.
Pandangan itu disokong kuat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, M. Ravi yang menyifatkan kerja keras mereka pada minggu terakhir ini bukanlah untuk meletakkan Anwar yang disifatkannya telah pun menang, sebaliknya untuk meningkatkan majoriti bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Menang memang sudah menang, sekarang ini kita bekerja keras untuk meningkatkan lagi majoriti Datuk Seri (Anwar). Sudah tiga hari saya menghubungi semua pengundi luar untuk balik mengundi dan setengah daripadanya telah pun menyatakan persetujuan untuk pulang mengundi,” katanya dengan yakin.
Mengakui masih terdapat kawasan hitam dan kelabu, Ravi yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkata kebanyakan mereka tidak dapat menerima Anwar selain berasa penat dan malas untuk mengundi kali kedua selepas yang pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) , 9 Mei lepas.
“Mula-mula mereka bising, namun selepas kita pujuk kenapa mereka perlu mengundi Datuk Seri Anwar, nampaknya mereka mula okay...cuma ada satu dua kawasan yang ‘karat’,” katanya.
Pun begitu, cabaran yang diberikan PAS yang mempertaruhkan bekas pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar tidak dapat dikesampingkan.
Sumber rapat Mohd Nazari yang kerap mengikut setiap kempennya memberitahu, PAS menerima sokongan positif daripada pengundi kaum Melayu dan India, terutamanya golongan nelayan, pemimpin tempatan dan pesara tentera.
“Namun kita tidak nampak sokongan yang solid daripada kaum Cina. Untuk pengundi UMNO pula, kita lihat mereka ini terbahagi kepada dua iaitu satu kelompok cenderung mengundi kita dan sebahagian lagi cenderung kepada (bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri) Mohd Isa (Abdul Samad),” katanya.
Walaupun PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tujuh penjuru, namun Anwar, Mohd Nazari dan Mohd Isa dilihat lebih mendominasi kempen keseluruhan PRK itu.
Bekas Setiausaha Sulit Kanan Mohd Isa, Asfanizam Baharuddin pula berkata bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu mempunyai potensi untuk menang memandangkan beliau anak tempatan selain pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson.
"Masyarakat dah tau prestasi dia di Port Dickson… masa dia menjadi Menteri Besar dahulu banyak pembangunan dibawa ke sini,” katanya, lapor Bernama.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berpandangan Anwar yang memiliki jentera yang besar serta jadual gerak kerja tersusun tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan pada PRK berkenaan.
“Untuk Mohd Isa pula, beliau dilihat tiada pilihan kerana apabila tiada parti, kempen yang beliau lakukan adalah terhad dari sudut jentera dan dana. Sebab itulah beliau menjalankan kempen dalam bentuk kelompok kecil.
"Bagi pengundi Barisan Nasional dan UMNO pula saya melihat mereka keliru sama ada mahu memilih Anwar ataupun Mohd Isa. Ini kerana Mohd Isa pernah memberi sumbangan di kawasan itu selama 40 tahun manakala Anwar pula nak diangkat menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Sementara itu, tinjauan pendapat dalam kalangan masyarakat Port Dickson pula menyaksikan pandangan yang pelbagai di antara calon yang bertanding, namun masih meletakkan Anwar, Mohd Isa dan Mohd Nazari sebagai keutamaan pilihan mereka.
Penjawat awam, Noorhidayu Samsuddin, 33;  peniaga, Rohana Ahmad, 45, dan Sulaiman Arshad serta beberapa lagi mengharapkan Anwar menjadi wakil rakyat mereka yang pada pandangan mereka mampu memberi nilai tambah kepada Port Dickson.
Bagaimanapun sokongan kepada empat lagi calon Bebas iaitu bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong dan pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen sehingga kini belum jelas dan sukar diterjemahkan kepada kemenangan.
Kawasan parlimen Port Dickson terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus dari sejumlah 77,750 pengundi Port Dickson.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, penyandang kerusi berkenaan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas pemenangnya dari PKR, Danyal Balagopal Abdullah, 

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...