Skip to main content

Bayi hentian sebelah dinamakan Muhammad Rizqy Sofiy


KUANTAN -- Bayi yang ditemui ditinggalkan di dalam tandas wanita di Hentian sebelah Lanchang, Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) pada pagi Selasa lalu dinamakan Muhammad  Rizqy Sofiy.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata nama berkenaan membawa maksud kurniaan atau rezeki Allah yang lembut.
"Bayi seberat 2.76 kilogram itu kini masih lagi dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini dan dinamakan Muhammad Rizqy kerana rezekinya ditemui cepat oleh orang awam membolehkannya diselamatkan dengan segera.
"Walaupun bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat, namun dia masih menerima rawatan antibiotik kerana kita tidak tahu di mana dia dilahirkan dan dikhuatiri mengalami jangkitan kerana tali pusatnya juga tidak dapat dipastikan dipotong dengan menggunakan peralatan yang bersih atau tidak," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa lebih setengah jam melawat bayi berkenaan di Wad NICU, Hoshas di sini hari ini.
Shahaniza diiringi Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang Zulkhari Zainol Abidin.
Bayi malang berkenaan ditemui orang awam pada jam 5 pagi Selasa lalu di dalam tandas wanita di Hentian Sebelah Lanchang, menghala ke Timur dalam keadaan bogel dan bernajis, dipercayai dilahirkan di tempat lain sebelum dibuang di situ.
Menurutnya Muhammad Rizqy dijangka akan dibenarkan keluar daripada hospital itu pada minggu depan setelah dipastikan benar-benar sihat dan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.
Dalam tempoh sejak empat tahun lalu, sebanyak enam kes buang bayi telah direkodkan di negeri ini dan walaupun jumlahnya tidak tinggi, kerajaan negeri sentiasa memandang berat tentang masalah berkenaan.
"Dalam masa yang sama kerajaan negeri dengan kerjasama badan bukan kerajaan juga sentiasa mengadakan kempen-kempen kesedaran terutama di kalangan belia dan remaja tentang natijah seks bebas.
"Kita juga meminta remaja yang terlanjur dan jika mengandung, jangan buang bayi berkenaan kerana dia tidak berdosa, sebaliknya boleh diserahkan kepada JKM menerusi program ‘baby hatch’," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...