Skip to main content

Bursa naik selepas tujuh hari susut


KUALA LUMPUR -- Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan selama tujuh hari berturut-turut apabila kembali ditutup tinggi berikutan peningkatan semula aktiviti belian saham berharga rendah di pasaran.
Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 22.25 mata atau 1.30 peratus untuk ditutup kepada 1,730.74 berbanding 1,708.49 pada Khamis.   
Penanda aras itu bergerak dalam jajaran antara 1,703.92 dan 1,732.16 selepas dibuka susut 4.57 mata kepada 1,703.92. 
Di papan skor, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 578 berbanding 334 manakala 351 kaunter lain tidak berubah, 609 tidak didagangkan dan 17 lain digantung.
Jumlah dagangan bagaimanapun berkurangan kepada 2.22 bilion unit bernilai RM2.49 bilion berbanding  3.10 bilion unit bernilai RM3.70 bilion.  
Di peringkat serantau, pasaran Nikkei 225 Jepun meningkat 0.46 peratus kepada 22,694.66, Indeks Straits Times Singapura bertambah 0.93 peratus kepada 3,075.47 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong naik 2.12 peratus kepada 25,801.49.  
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities, Pong Teng Siew berkata peningkatan sentimen pasaran itu adalah seiring dengan pengukuhan niaga hadapan Dow Jones Industrial Average yang melebihi 200 mata yang mengundang  pelabur kembali ke pasaran untuk mencari saham berharga murah.
"Sama ada ini dapat dipertahankan, masih lagi menjadi persoalan. Bagi saya, kita mungkin perlu menunggu berita mengenai prestasi (indeks) Dow Jones Industrial Average seterusnya pada Isnin yang dapat menjadi pengukur sebenar. Namun, saya pasti Dow Jones akan meningkat semula malam ini berikutan aktiviti mencari saham berharga rendah,” katanya kepada Bernama.
Bagi pasaran minyak, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.93 peratus kepada US$81.01 setong manakala ringgit berada di paras 4.1530/1560 berbanding dalam dolar AS daripada 4.1580/1600 pada Khamis.
Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung 30 sen kepada RM9.58, Public Bank naik lapan sen kepada RM24.98, TNB menokok 32 sen kepada RM14.60, Petronas Chemicals bertambah enam sen kepada RM9.28, CIMB meraih 29 sen kepada RM5.95 manakala Hong Leong Bank meningkat 20 sen kepada RM20.50.  
Bagaimanapun Axiata rugi 10 sen kepada RM3.91 dan Sime Darby Plantation berkurangan tiga sen kepada RM5.21.
Bagi saham aktif, MYEG naik sembilan sen kepada RM1.56, Vortex Consolidated menambah satu sen kepada sembilan sen, Hibiscus Petroleum untung satu sen kepada RM1.18 manakala Sapura Energy dan Borneo Oil turun setengah sen masing-masing kepada 36 sen dan 5.5 sen. 
Gamuda naik lima sen kepada RM2.35 manakala MMC Corp untung dua sen kepada RM1.15 selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti kontrak stesen bawah tanah yang diberi kepada MMC-Gamuda bagi projek Transit Aliran Massa 2.
Indeks FBM Emas melonjak 123.28 mata kepada 11,981.86, Indeks FBM Emas Shariah naik 96.41 mata kepada 11,988.96 manakala Indeks FBMT 100 turut melonjak 123.92 mata kepada 11,809.62.  
Selain itu, Indeks FBM Ace meningkat 103.67 mata kepada 5,008.02 manakala FBM 70 menokok 36.88 mata kepada 13,860.09.  
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 19.26 mata kepada 7,411.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 309.32 mata kepada 17,528.62 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 0.72 mata kepada 171.60.   
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.45 bilion saham bernilai RM2.34 bilion berbanding 2.08 bilion saham bernilai RM3.52 bilion yang didagangkan pada Khamis.
Waran susut kepada 452.14 juta unit bernilai RM91.12 juta berbanding 566.80 juta unit bernilai RM105.21 juta yang dicatatkan semalam.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan merosot kepada 315.58 juta unit bernilai RM58.90 juta berbanding 455.56 juta unit bernilai RM82.14 juta pada Khamis.    
Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 228.85 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri  (260.25 juta), pembinaan  (155.48 juta), teknologi (159.06 juta), SPAC (289,000), perkhidmatan kewangan (60.38 juta), hartanah (100.02 juta), perladangan (20.80 juta), REIT (7.36 juta), dana tertutup (49,000), tenaga (333.31 juta), penjagaan kesihatan (42.32 juta), telekomunikasi dan media (35.67 juta), pengangkutan dan logistik (14.59 juta) serta utiliti (30.02 juta).

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...