Skip to main content

Dihukum gantung sampai mati bunuh teman wanita


IPOH -- Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Selasa selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, kira-kira dua tahun lalu.
Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali membuat keputusan itu terhadap N. Sanderasegaran, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
Sanderasegaran dituduh membunuh S. Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun di sebuah rumah di  Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai antara 11 malam 27 Feb 2016 hingga 6 pagi 28 Feb tahun sama.
Che Ruzima dalam penghakimannya berkata ketika membela diri, tertuduh menyatakan mangsa dibunuh oleh perompak yang datang ke rumahnya pada masa kejadian.
Beliau berkata mahkamah mendapati kejadian rompakan itu adalah rekaan semata-mata dan pemikiran yang mudah untuk membela diri selain tertuduh hanya cedera ringan di tangan berbanding 37 kesan kecederaan pada tubuh mangsa. 
Menurut Che Ruzima adalah tidak munasabah perompak memukul mangsa secara berterusan dalam tempoh panjang kerana kebiasaannya perompak berada dalam tempoh singkat dalam sesebuah rumah dicerobohi, kerana bimbang ditangkap.
Pada masa sama, Che Ruzima berkata barang kemas mangsa masih terdapat pada tubuhnya ketika dibawa untuk proses bedah siasat di hospital, yang menunjukkan adalah mustahil perompak melarikan diri tanpa mengambil barang kemas berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ketika pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 11 Mac 2016.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 12 saksi manakala tiga saksi pihak pembelaan termasuk tertuduh, dikemukakan ketika membela diri.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Suainbon dan How May Ling, manakala tertuduh diwakili Ranjit Singh.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...