Skip to main content

Dua disahkan mati makan laksa di Baling


ALOR SETAR -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan(JKN) Kedah mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata daripada jumlah itu, sembilan kes dengan dua kematian  dilaporkan di Perak manakala 10 lagi  dilaporkan di Kedah.

"Pada 6 Okt lalu, KKM telah menerima satu notifikasi daripada Hospital Gerik mengenai dua kes keracunan makanan dengan satu kematian dan siasatan lanjut mendapati tujuh kes lagi daripada satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama mengalami gejala demam, cirit-birit, dan muntah.

"Mereka dilaporkan telah memakan laksa pada 9.30 malam, 4 Okt lalu yang dibeli oleh bapa si mati di sebuah gerai di Kupang, Baling pada hari yang sama pukul 5.30 petang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dr Norhizan berkata pada Ahad lalu, dua lagi kes telah dimasukkan ke Hospital Gerik kerana mengalami keracunan makanan setelah memakan laksa yang dibeli di kedai sama pada 4 Okt dengan satu kes dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh namun pesakit meninggal dunia pada 2.31 petang,  hari yang sama. 

"Selain itu, 10 kes keracunan makanan berkaitan dengan laksa yang dibeli di kedai sama turut dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Baling.

"Siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan di JKN Kedah dan JKN Perak untuk mengenal pasti kes-kes yang mempunyai gejala Keracunan Makanan (KRM) dan terdedah kepada makanan yang sama," katanya.

Katanya JKN Kedah telah menjalankan pemeriksaan dan menguatkuasakan penutupan sementara ke atas gerai terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan beberapa sampel klinikal, sampel makanan dan persekitaran sudah diambil untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

Pada masa sama beliau menasihati orang ramai yang mempunyai gejala KRM agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran. 

"Orang ramai diminta tidak khuatir kerana kejadian wabak itu adalah terkawal dan disarankan sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan selain mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum makan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...