Skip to main content

Hakim perlu berani sampaikan penghakiman


PUTRAJAYA -- Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum menggesa para hakim supaya bersikap berani apabila menyampaikan penghakiman, termasuk keputusan menentang.
Katanya, penghakiman bersifat menentang menggalakkan kebebasan berfikir serta membuka jalan kepada perkembangan sihat bagi undang-undang untuk masa akan datang.
“Anda perlu berani dan tidak teragak-agak untuk menyatakan pandangan peribadi. Tidak banyak manfaatnya menjadi ‘Yes Man’. Sudah tiba masanya kita membuang mentaliti ‘mengikut arus’ di semua peringkat dalam masyarakat kita,” katanya.
Malanjum berkata pernah terjadi, secebis penentangan oleh seorang hakim telah membantu mengubah undang-undang yang bersifat menindas atau mengukuhkan lagi proses sewajarnya.
Beliau mengambil contoh suatu kes habeas corpus di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang kini sudah dimansuhkan, apabila hakim Mahkamah Tinggi ketika itu (kini bekas pesara Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Hishamudin Yunus, dalam proses membenarkan  permohonan habeas corpus bekenaan, melangkah setapak ke hadapan dengan meminta Parlimen mengkaji semula ISA.
“Ternyata, komen beliau itu tidak sia-sia kerana akhirnya, ISA dimansuhkan,” kata Malanjum.
Hakim tertinggi dalam badan kehakiman itu berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Peranan Penghakiman Menentang Dalam Sistem Keadilan Malaysia’ bersempena  Syarahan Peringatan Prof Emeritus Ahmad Ibrahim ke-17 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia minggu lepas.
Teks syarahan beliau diedar kepada media baru-baru ini.
Malanjum mengambil satu lagi contoh dalam kes melibatkan Yong Teck Lee lwn Harris Mohd Salleh dan seorang lagi, di mana pesara hakim Mahkamah Rayuan Datuk K.C.Vohrah menentang dan memutuskan bahawa Parlimen mahu agar keputusan berkaitan perkara melibatkan pilihan raya boleh dirayu.
“Tidak lama selepas keputusan itu disampaikan, Parlimen meminda undang-undang berkenaan dan memberi hak untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Maka, keputusan Vohrah itu adalah tepat. Perkara ini tidak mungkin diketahui umum kalau bukan kerana penentangan beliau itu,” katanya.
Malanjum berkata ia juga membuktikan bahawa kepelbagaian pendapat, terutama daripada badan kehakiman, mencetuskan perbahasan secara menarik dan hasilnya menambah baik undang-undang, yang sejajar dengan prinsip semak dan imbang.
Menurut beliau, penghakiman menentang juga membuka ruang kepada pandangan alternatif, kalau tidak pun untuk masa kini, mungkin juga untuk masa akan datang tentang apa yang boleh dijadikan undang-undang apabila lebih banyak hakim yakin dengan rasional di sebalik sesuatu penghakiman menentang, lapor Bernama.
“Pada pendapat saya, penghakiman menentang memainkan peranan besar dan penting dalam mana-maman sistem keadilan. Ia menggalakkan kebebasn penghakiman; boleh mencetuskan perubahan dalam undang-undang, sama ada dari segi perundangan atau sebagai duluan dalam penghakiman; secara umumnya menyediakan kepelbagaian pendapat tentang apakah yang sepatutnya ada dalam undang-undang,” kata beliau.
Penghakiman menentang timbul daripada prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah  Persekutuan di mana kes didengar di hadapan panel hakim yang ganjil jumlah anggotanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...