Skip to main content

Hilang kaki terus berjuang...


SUBANG JAYA -- Tanggal 8 Feb 1986 menjadi titik sejarah yang dikenang seumur hidup Kolonel Tadbir Berita Tentera Darat Malaysia, Kolonel Zulkifli Tahir, kerana pada hari itulah beliau kehilangan kaki kanannya yang putus hingga ke bahagian betis akibat terpijak jerangkap samar.
Menceritakan detik cemas menimpa dirinya, pejuang berusia 58 tahun itu berkata ketika kejadian beliau yang mengetuai Platun Tinjau Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (9 RAMD) ditugaskan untuk memeriksa serta membersihkan jerangkap samar yang diletakkan komunis di kawasan hutan di Gubir, Kuala Nerang, Kedah.
“Pasukan saya yang terdiri 18 anggota berperanan untuk memeriksa laluan sebelum batalion utama melalui kawasan itu. Saya ingat lagi, kejadian berlaku pada pukul 7.15 pagi Jumaat ketika saya berusia 26 tahun, waktu itu saya bersama dua anggota sedang memeriksa keadaan laluan di atas bukit di hutan itu.
“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kami, ketika pemeriksaan, seorang anggota telah terpijak jerangkap samar yang secara tidak langsung turut mengaktifkan satu lagi jerangkap samar yang berada berhampiran dengan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Anggota Cedera peringkat pusat sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-85.
 Bermula sejak itu, walaupun Zulkifli terpaksa memakai kaki palsu, namun kerana cinta akan negara, ia sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk terus berjuang mencurah bakti kepada negara.  
“Ini takdir saya, sudah 32 tahun saya pakai kaki palsu ini…selagi saya ada kudrat, selagi itu saya akan terus berjuang bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Bagi saya, kebajikan yang dipamerkan ATM terhadap anggotanya adalah yang terbaik, walaupun saya cacat kekal, namun ia tidak menghalang untuk saya terus berada dalam pasukan ini,” katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin yang merasmikan majlis itu berkata ia diadakan bagi menghargai khidmat bakti anggota yang tercedera ketika melaksanakan operasi serta latihan yang berisiko tinggi.
“Jumlah keseluruhan anggota yang tercedera di seluruh negara ialah 571 anggota iaitu 56 daripadanya masih berkhidmat dan selebihnya telah bersara.  
“ATM amat menitikberatkan soal kebajikan anggota dan kita tidak mahu mereka yang tercedera ini di pandang sepi semua pihak kerana jasa yang mereka tabur untuk negara tinggi nilainya,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan sagu hati berupa wang tunai sebanyak RM500 kepada anggota yang tercedera. 
Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang serta 65 anggota dan veteran ATM.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...