Skip to main content

Isa Samad giat berkempen pada hari-hari terakhir


PORT DICKSON -- Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Sabtu ini, calon Bebas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mempergiatkan gerak kerja kempennya dari rumah ke rumah untuk menarik sokongan seberapa ramai pengundi yang disifatkannya lebih berkesan.
"Masa hanya tinggal kurang 48 jam lagi… jadi, saya perlu giat berkempen walaupun saya sudah turun di banyak tempat. Saya perlu bekerja kuat dan mendampingi pengundi secara terus. Saya akan menggunakan saki baki hari yang tinggal dengan strategi mempergiatkan kempen menemui seberapa ramai pengundi di Parlimen Port Dickson.
"Walaupun agak penat menemui penduduk di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut dari pagi hingga malam, tetapi cara ini lebih berkesan. Saya bersyukur kerana ramai yang mengenali saya kerana saya adalah calon tempatan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kempen di Teluk Kemang di sini, hari ini.
Mohd Isa, yang juga bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), berkata penduduk yang beliau temui memberi respons sangat baik dan berjanji akan menyokongnya.
Di lokasi lain, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu membidas kenyataan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyifatkan beliau tidak lagi relevan bertanding pada PRK berkenaan.
"Saya pun tak tahu relevan ke tidak, tapi ramai juga ahli politik yang tak relevan. Soal relevan itu sangat subjektif, mungkin saya relevan di Port Dickson...bukannya di Jelebu. Jadi, benda-benda ini sangat subjektif… jadi, tak ada apa yang menyebabkan saya tak relevan," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa kempen beliau di Kampung Paya, di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rais dalam ceramahnya semalam dipetik sebagai berkata Mohd Isa tidak relevan bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson.
Mengenai hasil kajian yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati sokongan masyarakat Port Dickson lebih cendorong kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding beliau, Mohd Isa menyifatkan kajian berkenaan memihak sebelah pihak, lapo
PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Mohd Isa, Anwar yang mewakili Pakatan Harapan, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan empat calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.
Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...