Skip to main content

Jangan panik, tiada perubahan pada cuti sekolah


KUALA LUMPUR -- Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang perubahan pada kalendar cuti persekolahan tahun hadapan dan ibu bapa serta guru diminta supaya jangan panik.
Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata  pihaknya belum menerima kertas cadangan atau kertas kerja daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berhubung cadangan pelaksanaan cuti sekolah secara berperingkat membabitkan negeri-negeri mulai tahun depan.
“Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai cuti sekolah) dan perbincangan hanya akan diadakan sekiranya terdapat permintaan (daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).
 “Ada yang sudah risau dan bertanya dengan saya mengenai perkara ini (cadangan cuti sekolah berperingkat). Kerana ada ibu bapa yang sudah mempunyai perancangan, malah ada yang sudah tempah tiket kapal terbang,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kebangsaan: Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan, di Institut Integriti Malaysia (Integriti) di sini.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik mencadangkan cuti sekolah  diadakan secara berperingkat antara negeri bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.
Muhammad Bakhtiar berkata pihaknya sedang merangka cadangan itu yang akan dikemukakan  kepada Kementerian Pendidikan, melibatkan jadual cuti sekolah yang biasa diberikan pada bulan Mac, Jun dan September sahaja.
Cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuk ibu bapa dan guru yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan perkara itu.
Sementara itu, Seminar Kebangsaan: Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan anjuran Integriti selama sehari itu bersetuju berapa resolusi termasuk mencadangkan supaya membudayakan nilai integriti dalam kalangan pendidik dengan mewujudkan piagam integriti khusus untuk golongan itu.
Seminar yang dihadiri pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan itu turut mencadangkan supaya elemen integriti diperkenalkan dalam pembentukan negara bangsa yang merangkumi semua bangsa dan agama di semua peringkat pendidikan.
Turut hadir Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan anggota Lembaga Pengarah Integriti Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...