Skip to main content

JAWI catat lebih 500 kes nikah tanpa kebenaran


KUALA LUMPUR -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merekodkan lebih 500 kes pernikahan tanpa kebenaran di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejak Oktober 2017 sehingga 5 Okt lepas.  
Menurut Penolong Pengarah Kanan JAWI Muhammad Abdul Nasir Abdullah, kebanyakan kes melibatkan mereka yang berumur antara 25 hingga 40 tahun yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.
“Mereka melalui proses pernikahan yang menyalahi prosedur undang-undang syariah, dengan kebanyakan bernikah di Thailand, dan ada juga di Indonesia, tetapi bukan melalui pihak yang disahkan kerajaan negara berkenaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Simposium Keluarga Bahagia "Cinta Hakiki" yang dirasmikan Timbalan Pengarah (Operasi) JAWi Yusof Mamat. Simposium sehari itu disertai 600 peserta yang berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di sini.
"Kalau ikut perundangan syariah negara kita, urusan pernikahan perlu melalui prosedur 4P (Proses, Pengesahan, Pendaftaran dan Perkahwinan), jadi bagi kes pernikahan tanpa kebenaran, mereka yang terlibat perlu mendaftar semula pernikahan di pejabat agama negeri untuk direkod seterusnya ke Mahkamah Syariah untuk disahkan," katanya.
Menurut Muhammad Abdul Nasir, pernikahan tanpa kebenaran adalah tidak sah menurut undang-undang kerana tidak didaftarkan di Mahkamah Syariah dan perkara ini perlu dipandang serius oleh umat Islam di negara ini.
"Masalah yang timbul daripada pernikahan tanpa kebenaran ialah apabila ia melibatkan urusan perceraian atau tuntutan nafkah anak.
Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk selesaikannya kerana pernikahan itu tidak didaftarkan, tetapi jangan risau kerana mereka yang terlibat masih boleh mendapatkan bantuan pejabat agama Islam negeri masing-masing," katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, Yusof berkata, simposium ini adalah untuk menyalurkan maklumat dan membuka mata peserta mengenai isu-isu kekeluargaan berpandukan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) kerana ramai yang kurang jelas kewujudan dan bidang kuasa undang-undang syariah ini.
Tambahnya, orang ramai yang memerlukan konsultasi dan nasihat tentang hal ehwal kekeluargaan Islam, boleh merujuk Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (BPPK JAWI) di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur. 

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...