Skip to main content

Johor tidak akan benarkan pesta arak


JOHOR BAHRU -- Kerajaan Johor tidak akan mengeluarkan permit untuk  penganjuran pesta arak atau Oktoberfest di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata bagaimanapun jika ada bukan Islam ingin mengadakan  majlis yang melibatkan minuman keras, mereka boleh berbuat demikian di premis yang sudah memiliki lesen.
"Kita (kerajaan negeri) mengikut apa yang berlaku... sebelum ini pun kita tidak pernah mengeluarkan lesen untuk Oktoberfest tetapi kalau dalam kalangan bukan Islam untuk mengadakan macam biasa (minum arak), kita tidak boleh buat apa-apa kerana tempat yang menjual arak sudah sedia ada memiliki lesen.
"Tetapi untuk Oktoberfest kena ada lesen lain. Setakat ini, kita memang tiada keluarkan sebarang lesen untuk penganjuran pesta itu,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Karnival Hari Kantin 2018 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tampoi.
Pada masa sama, Osman berkata pesta berkenaan bukan budaya Malaysia dan seharusnya tidak dicontohi oleh mana-mana pihak termasuk bukan Islam di negara ini.
"Ini budaya Jerman, jadi kenapa kita nak terikut-ikut budaya ini yang boleh mendatangkan kemudaratan. Jadi, tak perlulah kita contohi perkara tidak baik demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat,” tegasnya.
Sementara itu, Osman berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat tentang beberapa akaun Facebook yang didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah dan provokasi  selain menyebarkan berita palsu mengenai beliau selaku menteri besar. 
“Armada Bersatu telah buat laporan polis mengenai perkara itu, jadi kita serahkan kepada polis kerana tidak mahu menganggu siasatan,” katanya.
Pada 12 Okt lepas, Ketua Armada Kota Tinggi Shaiful Rizal Mohd Salleh membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru Sentral di sini, terhadap beberapa akaun di laman sosial tersebut.
Antara kandungan laman sosial berkenaan ialah ‘Menteri Besar Johor Pengkhianat Orang Kampung’ selain menuduh Menteri Besar Johor mengamalkan politik dendam sehingga membantutkan pembangunan rohani dan jasmani dengan kenyataan “Johor tidak perlukan pembangunan rohani dan jasmani termasuk penggerak masjid dan surau”.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...